TERKINI :

Tuesday, May 17, 2016

Akar umbi masih pandang tinggi Dr Mahathir -Ku Li

KUALA LUMPUR: Akar umbi UMNO masih memandang sumbangan-sumbangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun memerintah negara.

Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, rakyat tidak boleh menafikan perkara itu, walaupun Dr Mahathir kini dilihat sering mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak selain bertindak keluar dari UMNO.

“Sudah tentu kerana beliau telah berada di sana (memerintah) sejak sekian lama dan selain apa yang beliau telah lakukan, kepimpinannya, dia (Dr Mahathir) juga masih mempunyai pengaruh.

“Rakyat tahu siapa dia, apa yang dia lakukan sewaktu memerintah dahulu dan segalanya, kita tidak menafikan perkara itu,” kata Ku Li ketika ditemui pemberita, di Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak dapat menjelaskan sama ada tindakan Dr Mahathir mengkritik Najib dan bekerjasama dengan pembangkang dalam Deklarasi Rakyat adalah untuk menjatuhkan Najib.

“Itu, anda kena tanya. Sudah tentu dia lebih tahu,” kata beliau lagi.

Ujar Ku Li lagi, persoalan sama ada Dr Mahathir menjejaskan UMNO tidak seharusnya timbul memandangkan beliau sudah tidak bersama parti Melayu itu lagi.

“Dia bukan lagi ahli UMNO dan dia sudah meluahkan perasaannya bahawa tiada guna bersama parti yang hanya dipimpin oleh seorang individu. Itulah pendirian dia,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, mengulas dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan, Ku Li akui sukar menjangkakan sama ada Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi atau sebaliknya.

“Sukar untuk saya ulas, kerana dia (Dr Mahathir) sering mengejutkan. Dengan semua cadangannya, saya tidak boleh nilaikan situasi atau memberikan cadangan, ia sukar,” katanya lagi.

Ku Li juga tidak menafikan Dr Mahathir seorang yang sedar apa yang dilakukan.

“Dia mempunyai objektif. Jadi, sudah tentu dia akan mempromosikan objektifnya agar tercapai. Dia akan buat yang terbaik,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...