TERKINI :

Thursday, May 26, 2016

Adakah anda juga akan jual undi? Katakan RM48,000?


Seorang petugas kempen PKR merayu supaya difahami realiti kehidupan rakyat pendalaman Sarawak di tengah-tengah kritikan yang dilemparkan terhadap mereka berhubung isu politik wang.

Leon Lee, memberitahu satu forum di Kuala Lumpur mengenai pilihan raya negeri (PRN) Sarawak malam tadi bahawa beliau terkejut dengan respons media sosial dari Semenanjung Malaysia selepas PRN 7 Mei lalu.

Lee berkata, antaranya kritikan kerana dikatakan menjual undi mereka untuk RM300, manakala yang lain secara tersirat berkata mereka layak mendapat kerajaan yang korup kerana terlibat dalam politik wang.

"Kadang-kadang kita perlu memahami apa yang rakyat Sarawak hadapi - realiti yang membebankan, kesukaran hidup yang mereka hadapi dari hari ke hari.

"Hanya apabila kita faham, maka kita mempunyai peluang untuk menang. Jika kita terus menghentam dan memanggil mereka 'bodoh'; setiap kali mereka tidak mengundi anda, anda tidak kenal pasti puncanya dan anda tidak akan menang," katanya.

Untuk menggambarkan hal itu, Lee meminta hadirin mengangkat tangan jika mereka tidak sanggup untuk menjual undi mereka dengan harga RM50.

Selepas banyak tangan diangkat, dia menaikkan jumlahnya kepada RM1,000, kemudian RM30,000, dan akhirnya RM48,000. Pada masa itu hanya beberapa kerat di khalayak yang masih mengangkat tangan.

Angka RM48,000, jelas Lee, adalah berdasarkan kepada purata pendapatan tahunan di Kuala Lumpur, menurut beberapa sumber yang mendakwa ia RM4,800 sebulan, yang dibundarkannya kepada RM4,000 sebulan.

Menurutnya, jumlah RM300 itu adalah apa yang diperolehi oleh penduduk pedalaman Sarawak dalam setahun.

Menurut Jabatan Perangkaan, pendapatan isi rumah median di Kuala Lumpur adalah RM7,620 sebulan pada 2014, manakala pendapatan isi rumah median di Sarawak ialah RM3,778 sebulan.

Lee menjelaskan bahawa selepas lima jam menaiki bot panjang ke kawasan pedalaman Sarawak, maka tidak ada bekalan elektrik, air bersih, telefon atau sambungan Internet.

'Coca-Cola barang mewah'

Di situ, katanya, rakyat memperolehi kira-kira RM300 setahun, tetapi mereka boleh meneruskan kehidupan dengan jumlah wang yang tidak seberapa itu, dengan bercucuk tanam dan menangkap ikan untuk menyara hidup.

Wang yang sedikit yang mereka perolehi itu, katanya, adalah daripada lebihan hasil tanaman mereka yang dijual di pasar selepas perjalanan yang begitu jauh untuk sampai ke sana.

"Semua wang ini digunakan untuk apa? Barang mewah. Bagi kita, barang mewah itu mungkin iPhone, yang terkini (telefon pintar) Galaxy S7 dan yang lain-lainnya.

"Bagi rakan saya rakyat Sarawak yang dikasihi itu, satu tin Coca-Cola adalah barang mewah. Itu semua anda tidak boleh tanam. Apatah lagi iPhone.

"Anda tidak perlu menjual sayur-sayuran anda, anda tidak perlu menaiki bot panjang selama lima jam hanya untuk menjual sayur-sayuran dan membawa pulang RM30, menyimpannya sehingga anda memperolehi kira-kira RM150, kembali semula ke kota dan membeli radio - Radio juga adalah barang mewah di sana," katanya.

Oleh itu, Lee merayu kepada hadirin supaya memahami bahawa rakyat Sarawak bukan bodoh, tetapi realiti yang mereka hadapi adalah berbeza. Sehinggalah rakyat Malaysia menghargai semua itu, katanya, perbincangan itu tidak akan sampai ke mana-mana.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...