TERKINI :

Friday, April 8, 2016

WANG BUKAN LAGI RAJA BILA "RAJA" UMNO JUMPA HADI

Apakah yang dibincangkan oleh Datuk Raja dan Datuk Seri Haji Hadi ?

Pertemuan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail dengan Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang di Kampung Rusila, Kuala Terengganu baru-baru ini dan keputusan syarikat penerbitannya BYG Publisher menerbitkan buku Haji Hadi "Prinsip Haji Hadi" menimbulkan banyak persoalan.

Raja Niza sendiri adalah seorang novelis dan penulis politik yang terkenal.

Khabar mengenai pertemuan ini yang tersebar di kalangan UMNO Selangor telah menimbulkan kembali cerita sumbangan Raja Ahmad Niza kepada UMNO lebih 40 tahun yang tidak dihargai.

Pucuk pimpinan UMNO memilih orang lain bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Kuang pada Pilihan Raya Umum 2004 sedangkan beliau adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang dan menetap di DUN berkenaan.

Menurut rakan-rakannya di Kuang, walaupun beliau tidak dipilih untuk bertanding tetapi beliau tetap turut berkempen memastikan calon yang bertanding memperolehi kemenangan dan beliau sedikitpun tidak melahirkan perasaan kecewa kerana tidak dipilih.

Selepas calon berkenaan mencapai kemenangan, beliau telah menulis surat kepada Perdana Menteri bertanyakan bagaimana kedudukannya dan peranannya selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang apabila tidak dipilih untuk bertanding. Tetapi malangnya suratnya langsung tidak dijawab.

Difahamkan Khairi Jamaluddin Ketua Pemuda UMNO telah memainkan peranan penting dalam mengenepikan Raja Niza yang tidak hanya merupakan orang politik tetapi juga bekas wartawan Utusan Melayu yang terkenal.

Antara jawatan-jawatan yang dipegang sepanjang 40 tahun beliau bergiat aktif di kawasan Kuang ialah Ketua Cawangan UMNO Kuang Selatan, Kuang Timur, AJK Pemuda Bahagian Selayang, AJK Bahagian Selayang dan meningkat kepada Ketua Penerangan Bahagian, Setiausaha Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan Pengarang UMNO Selangor (NADA).

Beliau masih setia kepada UMNO hingga ke hari ini tetapi pertemuannya dengan Haji Hadi menimbulkan banyak persoalan.

Ramaikah lagi Ketua-Ketua UMNO Bahagian atau bekas-bekas Ketua UMNO Bahagian yang akan menemui Haji Hadi. Mungkin semakin hampir Pilihan Raya Umum semakin ramai dan ketika itu Presiden UMNO Datuk Seri Najib akan tersandar pada kenyataan bahawa Money Is Not The King but the Power Is The King. Najib mungkin boleh memberikan wang kepada semua tetapi tidak boleh memberikan kuasa kepada semua.

Zainuddin Maidin

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...