TERKINI :

Thursday, April 21, 2016

Susah getir mertabatkan PAS dahulu dengan ukhwah, kini diratah sekawan fitnah adu domba

SUSAH GETIR MERTABATKAN PAS DAHULU DGN UKHWAH, KINI DIRATAH SEKAWAN FITNAH ADU DOMBA - MAZLAN ALIMAN

Salahudin Ayub, YB Aminolhuda Hassan, Hj Dzulkifly Ahmad, Hj Khairudin Abd Rahim dan Onn Jaafar adalah antara sahabat akrab sejak saya menyertai PAS pada tahun 1986. Kami membina karier dari bawah. Menampal poster, naikkan bendera atas pokok, kutip derma jihad dan kerja kerja asas sebagai aktivis parti. BerUsrah dan bertamrin bersama sama. Kami wujudkan Pusat Tarbiyyah Amaliyyah yang di ketuai sendiri oleh Aminolhuda bagi memperkasa tarbiyyah pemuda.

Bintang Salahudin lebih cerah dari saya; namun saya tahu keperitan yang beliau hadapi sewaktu beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Johor sepenuh masa dengan elaun RM300 sebulan. Acapkali kesempitan wang, hingga susu anak pun tidak mampu di beli. Dia tidak lupa diri bila jadi Ahli Parlimen. Selalu membantu saya terutamanya menjelang hariraya dan naik sekolah. Kalau jumpa dia akan tanya secara berseloroh, ' duit belanja ada? Lantas hulur sejumlah wang kepada saya kerana dia pernah alami keperitan dalam hidupnya. Dia mahu berkongsi sedikit keselesaan dengan rakannya yang lain.

Sejak zaman Al Marhum Ismail Ibrahim sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, kami adalah exco Pemuda PAS. Aminolhuda akan singgah dan tumpangkan saya untuk pergi bermesyuarat di Batu Pahat. Beliau sahabat yang ambil berat mengenai saya. Tidak berkira orangnya. Hj Khairudin, meskipun engineer; sebahagian besar gajinya adalah untuk jamaah. Sanggup jual kuih dan buka kedai makan nak tampung kos operasi Dewan Pemuda. Kadangkala nak tuang minyak kereta pun tak ada duit.

Dzulkifli Ahmad, saya anggap arkitek parti di Johor. Pemikiran dan cara bekerjanya hebat. Seorang perancang parti yang work smart. Bangunan PAS Johor yang sedang berdiri megah waktu ini adalah hasil 'buah tangannya'.

Apapun yang orang perkatakan mengenai Onn Jaafar, beliau adalah aktivis parti yang gigih. Walau dikata loklak, ceroi dan lain lain, kerja buatnya selesai sebagaimana arahan. Jika kita ni jam 1 pagi dah tidur; beliau masih menampal poster dan macam macam dilakukan hingga ke dinihari sejak 20 tahun dulu lagi. ' Ana ni tak reti bagi kuliah, tukang tampal poster pun tak pe lah'. Guraunya menceriakan kami.

Ukhuwwah yang terbina mengeratkan kami. Walau ada yang sudah berjawatan penting dalam parti dan bergelar YB, hubungan kekal terpelihara. Justeru, bila ada fitnah yang disebarkan, kami sama sama hadapi, walau terasa pedihnya. Menitik air mata mengingatinya.

Sekarang musim pemilihan parti, pilu tetap terasa bila kawan baik berubah sikap kerana berbeza pandangan. Seperti kata Dato' Mahfuz Omar, ' saya mengenali Salahudin sudah sekian lama. Sembahyang sunat dia lebih banyak dari saya. Tapi, bila orang fitnah dia baru baru ini(ada ceritanya) saya sangat terasa. Di mana letaknya akhlak kita?'.

Mahalnya nilai sebuah persahabatan. Jangan kerana jawatan dan berbeza pandangan, kita bersengketa dan berpecah. Hilang segala galanya meskipun di pupuk sekian lama.

Moga Allah pelihara persaudaraan ini hingga ke akhir hayat.

■ Mazlan Aliman ialah AJK Pas Pusat.
■ 20 April 2015

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...