TERKINI :

Friday, April 22, 2016

Siasatan ke atas 1MDB dalam takut, dakwa Economist

 
Kes siasatan ke atas 1MDB bakal menjadi ujian penting berhubung cara dunia berdepan dengan gejala rasuah rentas sempadan, kata The Economist.

Majalah antarabangsa berkenaan mengimbas semula skandal yang melanda firma pelaburan milik negara itu dan kaitannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Dengan rasuah dan gerakan taktikal di pesisir luar berada di agenda tinggi selepas pembocoran kertas Panama, penyiasat mempunyai insentif tambahan untuk menggali dengan lebih mendalam,” katanya.

The Economist mendakwa siasatan dalaman Malaysia seolah-olah bersifat takut ataupun tersentap, justeru membiarkan negara-negara lain menjalankannya.

"Tahun lalu Peguam Negara digantikan - kononnya atas alasan kesihatan, walaupun dokumen yang bocor memberi bayangan bahawa beliau bersedia mengenakan tuduhan jenayah terhadap Najib.

"Pengganti beliau menolak cadangan bank pusat supaya 1MDB menghadapi tuduhan.

"Laporan Parlimen ke atas firma itu mengenal-pati berlakunya penyelewengan tetapi tidak mendakwa adanya penipuan secara terang-terangan," katanya.

Dokumen yang didakwa oleh The Economist mengenai kemungkinan tindakan undang-undang diambil ke atas perdana menteri, adalah draf yang dikatakan kertas pertuduhan yang diterbitkan di laman web pemberi maklumat, Sarawak Report.

Laporan majalah kewangan mingguan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas pengawal selia kewangan Switzerland (Finma) memberi amaran bahawa negara itu berdepan peningkatan risiko pengubahan wang haram, memetik contoh seperti 1MDB.

"Kita tahu bahawa dana yang dicurigai itu juga melalui bank-bank yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Asia Barat. Urusniaga juga diproses melalui banyak pusat kewangan antarabangsa yang lain.

"Ini menjadikan siasatan merentasi sempadan semakin kompleks kerana melibatkan pendakwa raya dan pihak berkuasa seliaan daripada empat benua.

"Jadi kes-kes seperti ini merosakkan reputasi pusat kewangan Switzerland.

"Jika sistem perbankan Swiss disalahgunakan untuk pengubahan wang haram secara besar-besaran, maka ini menjejaskan reputasinya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Finma, Mark Branson.

Switzerland percaya bahawa sekurang-kurangnya AS$4 bilion daripada dana 1MDB telah disalahgunakan tetapi Economist berkata penyiasat kini percaya ia boleh menjadi sebanyak AS$6 bilion.

Ia berkata bahawa penyiasat Switzerland pada 12 April lalu berkata mereka sedang meluaskan siasatan ke atas dua bekas pegawai kerajaan dari Emiriah Arab Bersatu yang dipercayai adalah pegawai utama dalam International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS yang kedua-duanya mempunyai urusan dengan 1MDB.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...