TERKINI :

Sunday, April 3, 2016

Siapa nak dedak angkat tangan!


* TUN Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Pengerusi Proton Holding. Surat peletakan jawatan itu dihantar kepada Pengarah Urusan Kumpulan DRB, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Serentak dengan itu bekas perdana menteri itu juga melepaskan jawatan Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), sekali gus meletak jawatan Penasihat Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (Tida).

Maka dengan melepaskan jawatan-jawatan penting dalam GLC dan agensi kerajaan, beliau nampaknya betul-betul berpatah arang. Malah, ada yang kata mantan PM telah membakar jambatan.

*ADAPUN perihal membakar jambatan bukanlah benda baharu atau pelik dan luar biasa dalam politik kita. Siapa sahaja – tidak kira kedudukan – pada bila-bila masa boleh membakar jambatan.

Sebelum ini pun ramai pemimpin dari pelbagai parti sudah membakar jambatan masing-masing. Ada yang membina jambatan baharu. Ada juga yang guna semula jambatan yang telah dibakar.

Hatta ada juga yang tidak buat jambatan baharu, tidak pula pakai jambatan lama, sebaliknya terjun dalam sungai seperti Luncai dengan labu, dan dihanyutkan arus masa, sebelum akhirnya lemas sendiri.

*RAMAI tidak senang dengan Tun M kerana kerap mengkritik keras pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan kontroversi 1MDB melibatkan RM juta-juta-juta.

Sesetengahnya terlalu bersemangat dan emosi sakan sehingga meminta tindakan mahkamah dikenakan ke atas Tun M atas pelbagai tuduhan, termasuk di bawah Akta Hasutan.

Tetapi Tan Sri Dr Rais Yatim menegaskan Tun M bukan calang-calang orang yang boleh dengan mudah dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan. Kata Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosiobudaya itu:

“Kita perlu mengimbangi nilai perjuangan dengan undang-undang dan ternyata ramai cuba guna Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan sebagai tekanan, namun mereka jarang dapat menilai sesuatu pendakwaan itu kerana ia berasaskan pada niat. Jika niat tersebut tidak dapat dibuktikan untuk menghasut, maka perbuatan itu adalah sia-sia...”

Dr Rais pakar undang-undang, maka cakap beliau tentulah lebih logik berbanding orang yang cakap ikut perasaan tetapi buta undang-undang.

*BERALIH kepada topik lain, perihal dedak. Semenjak dua menjak ini ada andaian bahawa sesetengah pihak tidak berani menegur, jauh sekali mengkritik PM Najib, gara-gara telah disuap dedak.

Kata yang empunya cerita ramailah juak-juak dan hulubalang yang sanggup menutup mata dan membiarkan sebarang salah laku, sebab mulut dan fikiran mereka telah ditutup dengan dedak.

Alkisahnya, dulu-dulu dedak atau hampas padi yang dikisar halus – dan digaul dengan nasi basi – hanya layak untuk makanan haiwan ternakan seperti ayam, itik dan babi. Kini zaman ICT dedak pun naik taraf dan jadi habuan insan berakal.

*SESETENGAH insan menerima dan disuapkan dedak dengan cara yang dianggap betul. Ambil dan makan sekian-sekian dedak, tetapi jangan banyak cakap. Duduk diam-diam, cakap sahaja jika dedak tidak cukup.

Tetapi, ada pula pihak yang lebih pandai. Mereka tidak suka dedak yang disuap dan diberi, sebaliknya lebih selesa mencuri dedak secara senyap-senyap, sebab terlalu yakin tidak ada orang lain tahu.

Contoh, ada pegawai di dua kementerian yang berjaya songlap dedak bernilai RM ratusan juta. Antaranya ada 12 kereta mewah, sekian banyak jam tangan berjenama, beg tangan isteri nilai RM ratus ribu, malah ada RM juta-juta dalam bank.

Hatta, bermewah-mewah makan angin ke luar negara pun atas kebijaksanaan mencuri dedak.

Ada pun yang seperti ini tidak lagi dipanggil makan dedak, tetapi ‘mentekedarah’ dedak. Setakat yang dikesan hanya dua kementerian. Entah-entah banyak lagi dedak di kementerian dan agensi lain telah disakau dan disonglap.

*AKHIR kalam, malangnya seorang guru perempuan di sebuah sekolah rendah dekat Mentakab, Pahang. Dia ditipu RM392,800 oleh kekasihnya, seorang warga asing yang tidak pernah bersua muka, hanya bercinta di alam siber.

Menurut polis, guru berkenaan menggunakan wang simpanan, meminjam wang dari saudara mara, malah berhutang dengan ah long, kerana memenuhi permintaan kekasih siber.

Modus operandi tidak payah diceritakan, sebab kisah seperti ini sudah banyak kali disiarkan. Kena hati-hati. Ini bukan kes makan dedak atau songlap dedak. Ini kes ‘sedekah’ dedak...

TOK PERAK
SINAR HARIAN

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...