TERKINI :

Thursday, April 14, 2016

Siapa ganti Najib tak penting.. sekarang misi untuk selamatkan negara


Siapa calon pengganti Datuk Seri Najib Razak bukan perkara utama pada masa sekarang kerana apa yang lebih penting adalah memastikan perdana menteri itu berundur daripada tampuk pemerintahan negara.

Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata ini kerana agenda utama Pakatan Harapan (HARAPAN) kini adalah untuk menyelamatkan negara daripada terus 'musnah' di bawah pentadbiran Najib.

“Pokok pangkalnya apa yang penting sekarang ini adalah untuk kita pastikan Najib berundur dari jawatan perdana menteri.

“Soal siapa pengganti perdana menteri tidak perlu dijadikan topik utama perbincangan, ia lebih kepada perbincangan bilik-bilik belakang.

"Untuk selamatkan negara kita dari terus parah kita kena bersedia melakukan reformasi dalam institusi pentadbiran negara,” kata Syed Ibrahim ketika dihubungi Malaysiakini.

Syed Ibrahim berkata demikian mengulas saranan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu semua pihak memberi peluang kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerajui negara.

Pandangan peribadi

Sementara itu, Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata cadangan Zaid hanyalah pandang peribadi.

“Itu pandangan peribadi beliau (Zaid Ibrahim), tetapi apa yang penting bagi saya adalah pengajaran daripada apa yang berlaku dalam negara hari ini khususnya Najib memerlukan satu reformasi.

“Kita kena ada pembaharuan struktur terhadap beberapa institusi negara yang rakyat mahu lihat ada satu perubahan yang besar.

"Kalau tidak nanti siapa pun yang jadi perdana menteri ia akan mengulangi kesilapan yang sama,” tegas Salahudin kepada Malaysiakini.

Adakan pilihan raya

Bagaimanapun, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran pula berkata tiada siapa dalam Umno-BN layak menjadi perdana menteri kerana mereka bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB yang melanda negara.

Beliau sebaliknya mahu pilihan raya umum diadakan segera bagi memilih calon perdana menteri yang sesuai.

“Sistem politik kita menetapkan bahawa parti yang mempunyai majoriti kerusi akan memilih perdana menteri. BN mempunyai majoriti kerusi jadi mereka berhak menentukan siapa perdana menteri.

“Tetapi dengan skandal 1MDB semua pemimpin BN tercalar. Jadi, apa yang terbaik sekarang adalah mengadakan pilihan raya umum untuk menyelesaikan isu itu,” kata anggota Parlimen Ipoh Barat itu kepada Malaysiakini.

Najib sebelum ini berdepan serangan pelbagai pihak berikutan skandal 1MDB dan isu derma sebanyak RM2.6 bilion, terutamanya daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun Najib terus menafikan perkara itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...