TERKINI :

Tuesday, April 5, 2016

Rafizi undang tangkapan, kata IGP

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengundang tangkapan dengan mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata ahli parlimen Pandan itu sepatutnya sedar tentang kesan dan akibat tindakannya.

"Bagaimana anda boleh salahkan pihak polis? Kami hanya ksanakan apa yang dinyatakan dalam undang-undang.

"Laporan polis telah dibuat terhadapnya. Berikutan itu, kami telah memeriksa dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan sama ada dokumen itu memang dikategorikan sebagai sulit.

"Apabila kami mengesahkan ia adalah dokumen OSA, maka kami perlu bertindak," katanya.

Lebih-lebih lagi, Khalid berkata Rafizi sendiri mengisytiharkan bahawa beliau memiliki dokumen OSA dan bercadang untuk mendedahkan kandungannya.

Beberapa pihak juga mengkritik cara penangkapan itu dengan Ahli Parlimen Subang R Sivarasa menyamakan ia sebagai penculikan ala Gestapo.

Mengulas bidasan itu, Khalid berkata: "Mereka boleh kata apa yang mereka suka, kita mematuhi SOP (prosedur operasi standard) kami dan undang-undang."

Rafizi ditahan di pintu pagar Parlimen petang ini di bawah Seksyen 8 Akta OSA.

Pemimpin PKR itu bulan lalu mendedahkan apa yang didakwanya sebagai dokumen sulit yang menunjukkan kaitan antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan 1MDB.

Dalam temu bual baru-baru ini dengan Malaysiakini, isteri Rafizi juga berkata beliau bersedia sekiranya suami beliau ditangkap berhubung isu berkenaan.

Jika didapati bersalah, ahli parlimen pembangkang itu berisiko menghadapi hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...