TERKINI :

Sunday, April 3, 2016

Peristiwa penting akan berlaku?

Oleh A Kadir Jasin


Sebelum dan selepas pemimin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengikrarkan sokongan beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 24 Mac, saya telah menerima beberapa mesej “anonymous” melalui blog ini dan sistem pesanan ringkas (SMS).Kesemuanya dalam bentuk rahsia atau untuk makluman saya sahaja.

Sebagai wartawan, maklumat seperti ini amat saya hargai tetapi pada masa yang sama menyebabkan saya dalam dilema – serba salah sama ada menghormati amanah agar tidak dihebahkan atau mencari jalan pintas untuk menyiarkannya.

Saya tahu salah seorang yang menghantar maklumat sulit itu. Dia amat akrab dengan Tengku Razaleigh sehinggalah Tengku Razaleigh menandatangani “Deklarasi Kelantan” itu. Kami sama-sama mengenali Tengku Razaleigh hampir 40 tahun.

Kata kawan saya itu, setelah apa yang Tengku Razaleigh lakukan dia tidak lagi hormat dan percaya kepada bekas menteri kabinet itu dan lantas mengikrarkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun ada masa dia tidak bersetuju dengan bekas Perdana Menteri itu.

Penghantar-penghantar mesej tanpa nama yang lain memang tidak saya kenali

Ada perkara dalam mesej mereka menyamai pandangan saya mengenai muslihat tersurat dan tersirat Tengku Razaleigh tiba-tiba mengubah hala menyokong Najib dan ada yang bercanggah dengan pendapat saya.

Mereka kata, Tengku Razaleigh tidak makan dedak!

Salah seorang daripada mereka begitu yakin dan terperinci (precise) memberitahu saya bahawa sesuatu yang penting akan berlaku dalam masa singkat. Beliau memberi bilangan hari. Mesej itu dihantar sebelum Tengku Razaleigh berikrar setia kepada Najib.

Yang terbaru, seorang pembaca menghantar maklumat menggunakan pengenalan “anonymous” dengan pembuka kata “sekadar utk pengetahuan Dato (bukan untuk siaran).”

Beliau pun mempunyai maklumat yang lebih kurang sama iaitu tindakan Tengku Razaleigh mempunyai matlamat tersirat yang akan jadi kenyataan dalam jangka masa terdekat.

Saya tidak boleh dan tidak akan mengulas lebih lanjut kerana menghormati permintaan mereka. Cuma saya berharap mereka ikhlas memberi maklumat sambil cuba membuktikan yang mereka ada maklumat dalaman.

Kita tunggu dan tengok apa yang akan berlaku dalam “masa terdekat” itu.

Moga-moga Allah menganugerahkan kita yang terbak. Kita sudah cukup menderita akibat perbuatan Najib.

Penulis adalah Tokoh Wartawan Negara dan bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times. Tulisan ini kali pertama dimuat-naikkan di blognya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...