TERKINI :

Tuesday, April 19, 2016

Pendang - MADA maklumkan tiada pembatalan jadual penanaman padi

Tiada pembatalan jadual penanaman padi

PENDANG - Tiada pembatalan dalam jadual aktiviti penanaman padi bagi Musim 1/2016 di kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Muda (Mada) walaupun cuaca panas dijangka berterusan hingga Jun ini.

Pengerusi Mada, Datuk Othman Aziz berkata, sehingga semalam paras air di ketiga-tiga empangan utama seliaan Mada iaitu empangan Pedu, Ahning dan Muda berada pada paras 70 peratus penuh dan mencukupi untuk musim ini.

"Musim 1/2016 kami jalankan ikut jadual tiada pembatalan dan dalam masa sama kami bantu kerajaan negeri bekal air daripada empangan Muda ke empangan Beris. Empangan Beris pula akan salur air melalui Sungai Muda ke selatan Kedah (Sungai Petani, Kulim dan Pinang Tunggal) termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Turun Bendang di Kampung Pulau Tengah, Mukim Padang Kerbau, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Paduka Md Rozai Safian.

Mengikut jadual, tiga fasa bekalan air ditetapkan Mada iaitu 30 Mac, 9 April dan 19 April.

Terdahulu dalam ucapannya, Othman berkata hampir 30 peratus daripada kira-kira 55,000 pesawah di kawasan Mada tidak menggunakan benih padi sah yang murah, menyebabkan padi yang dihasilkan tidak berkualiti, seperti padi angin.

"Benih padi sah ialah yang dikeluarkan di bawah piawaian mutu Skim Pengesahan Benih Padi yang dikendalikan Jabatan Pertanian sebagai agensi pengesahan serta mendapat perakuan pematuhan piawaian mutu yang melibatkan aspek ketulenan jenis, ketulenan fizikal, peratus percambahan dan peratus kelembapan," katanya.

Dalam pada itu Suraya yang juga Exco Pertanian dan Industri Asas Tani dalam ucapannya berkata penyelarasan 449 hektar sawah di kawasan Mukim Padang Kerbau di sini oleh Mada yang merupakan kawasan pinggiran Mada, adalah amat dialu-alukan.

"Walaupun hanya 287 pesawah terlibat, tetapi yang pentingnya nanti hasil itu beri peningkatan kepada pesawah," katanya.

Malah beliau juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran Serta Jabatan Pertanian untuk tidak lepas tangan serta membantu pesawah dalam mengendalikan kawasan tersebut walaupun sudah diselaras Mada.

Program Jom Turun Bendang bertujuan menggalakkan peladang di kawasan bendang mematuhi jadual penanaman padi yang ditetapkan Mada, selain memaklumkan peladang boleh memulakan aktiviti penanaman padi bagi musim ini.

Seramai 2,000 orang dijangka menghadiri program selama dua hari bermula hari ini yang turut diisi pelbagai program seperti ceramah agama, pameran, taklimat dan sukaneka bendang. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...