TERKINI :

Saturday, April 16, 2016

Pemilihan Juanda wakili BN perkembangan sihat

Dr Juanda Jaya

KANGAR - Pemilihan bekas Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini, merupakan suatu perkembangan sihat dan menguntungkan rakyat negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pemilihan tokoh agama berusia 44 tahun itu adalah selari dengan usaha BN mempelbagaikan latar belakang atau kepakaran wakil rakyat untuk mewakili parti.

"Saya telah lama mengenali Juanda. Beliau seorang yang sederhana dan mudah untuk berbicara. Saya yakin pengetahuan luas beliau dalam bidang agama bakal memanfaatkan rakyat Sarawak," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pemilihan Juanda bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jemoreng diumumkan oleh Pengerusi BN Sarawak, Datuk Seri Adenan Satem baru-baru ini.

Shahidan, yang juga Pengerusi BN Perlis, berkata Juanda juga disenangi oleh rakyat Perlis semasa beliau memegang jawatan Mufti Perlis mulai 2009 hingga 2014.

Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula menyifatkan Juanda sebagai seorang ahli Majlis Fatwa Perlis yang mempunyai pendirian jelas namun masih mempunyai sikap merendah diri.

"Saya berharap keterbukaan BN memilih Juanda sebagai calon menjadikan BN lebih progresif dan diterima rakyat.

"Sebagai bekas mufti, saya optimis Juanda mampu menyumbangkan tenaga dan pengetahuannya untuk menaikkan syiar Islam khususnya di Sarawak," katanya. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...