TERKINI :

Wednesday, April 13, 2016

Pembangunan masih ‘umpan politik’ terbaik

 sarawak-spr
KUCHING: Janji-janji pembangunan dan penyediaan kemudahan asas masih menjadi ‘umpan politik’ terbaik untuk menambat hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 kali ini.

Malah, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir, pembangunan dan penyediaan infrastruktur tetap berkesan pada pilihan raya-pilihan raya akan datang.

“Ia masih akan berterusan dalam satu atau dua pilihan raya akan datang, walaupun kerajaan negeri salurkan berbilion peruntukan sebelum ini (untuk pembangunan).

“Ini kerana, walaupun sudah sekian lama, negeri masih ketinggalan dalam aspek kemudahan asas. Kesedaran politik berhubung soal ketelusan dan tadbir urus kerajaan pula masih rendah.

“Maka, bagi ahli politik, ia (pembangunan) masih menjadi umpan politik terbaik untuk meraih undi,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas janji-janji diberikan beberapa calon PRN yang diumumkan semalam, yang menjadikan pembangunan kemudahan asas antara agenda utama kempen mereka.

Antaranya, calon langsung Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu, Datuk Gerawat Jala yang berjanji akan menekankan aspek kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih di kawasan bermajoriti Orang Ulu itu.

“Masih banyak yang perlu dilakukan di sana, terutama untuk meningkatkan status ekonomi penduduk,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman pencalonannya pada Selasa.

Seorang lagi calon langsung BN DUN Serembu, Miro anak Simuh turut memberikan janji sama, dengan menekankan pembangunan dalam aspek infrastruktur pendidikan.

“Walaupun (Serembu) dekat dengan Kuching, masih banyak pembangunan yang perlu dikejar, terutama dalam pendidikan. Ada sekolah uzur yang boleh dinaiktaraf untuk keselesaan pelajar dan guru,” katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...