TERKINI :

Wednesday, April 6, 2016

PAS menganggap DAP merupakan aset BN dan liabiliti kepada pembangkang

DAP aset BN, liabiliti pembangkang
ALANG IBN SHUKRIMUN | 05 April 2016.

SAYA dapati ada satu perkara menarik daripada petikan kenyataan Mat Said yang dipetik oleh Sinar Harian. Saya tak mahu mengulas soal jawatan MB, mahupun masalah kepimpinan Umno.

Tetapi laporan muka depan bertajuk MB hanya menghitung hari itu memberi satu petunjuk yang baik buat PAS sendiri.

Di akhir laporan tersebut, Mat Said berkata "Kalau bubar DUN dalam keadaan sekarang, kita (BN) boleh kalah. Kita takut ini berlaku, takut DAP perintah. Kalau PAS, PKR tak apa lagi." Ucapan ini disampaikan dihadapan orang Melayu yang dianggap semuanya penyokong Umno sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Kemaman.

Rupa-rupanya benarlah telahan dan bancian PAS selama ini. Orang Melayu yang membentuk majoriti di negara ini sebenarnya telah dimomokkan sekian lama dengan ketakutan terhadap DAP. Di negeri tiada DAP seperti Terengganupun Umno boleh mainkan isu kebimbangan terhadap penguasaan DAP, apatah lagi di negeri yang ramai DAP, apatah lagi di negeri dan tempat yang dikuasai DAP.

Dapatan postmortem PRU13 yang lepas menunjukkan penurunan sokongan pengundi Melayu terhadap PR terutamanya PAS yang bertanding di kawasan Melayu adalah kerana BN berjaya memainkan isu perkauman. Antara peluru paling masyhur ialah PAS menjadi kuda tunggangan DAP, Melayu telah dipergunakan Cina, negara bakal diambil alih Cina dan seumpamanya.

Inilah sebab BN masih mampu memerintah Malaysia walau hilang undi popular. Walaupun BN yang Melayu itu juga tak boleh diharap dalam menjaga kepentingan Melayu, tetapi mentaliti masyarakat Melayu masih melihat nasib mereka akan lebih terancam jika bukan kaum mereka yang memerintah.

DAP sendiri yang membiarkan persepsi buruk mengotori imej mereka. Banyak isu yang melibatkan keagamaan seperti penggunaan kalimah Allah, penentangan enakmen syariah Islam, hak murtad dan sebagainya menyebabkan melayu semakin sangsi terhadap DAP.

Mereka seolah-olah tidak kisah kalau umat Islam marah terhadap mereka asalkan mereka mencapai agenda. DAP tak perlu risau akan orang Melayu kerana sasaran kerusi mereka hanyalah di kawasan minoriti Melayu sahaja.

Kini wajah buruk DAP bertambah dengan isu skandal rumah banglo dan kemewahan pimpinan DAP. Tekanan kos sara hidup yang dialami rakyat makin menambah kebencian terhadap taikun DAP. Ini semua memberikan peluru percuma kepada BN untuk mewiridkannya setiap hari dalam media massa yang dikuasainya sehingga menenggelamkan isu-isu GST, TPPA, 1MDB dan seumpamanya.

Apa yang disebut Mat Said, "kalau PAS dan PKR tak apa lagi," juga sebenarnya menggambarkan mentaliti orang Umno sekarang. Mereka sebenarnya sudah bersedia menerima PAS bagi menggantikan Umno.

Cuma yang mereka bimbang adalah penguasaan DAP terhadap PAS. Mungkin Mat Said terlepas mengikuti perkembangan terbaru dalam blok pembangkang bahawa PAS sudah berputus hubungan dengan DAP. Hanya PKR dan PAN yang masih bersama DAP. Itupun PKR tak sanggup kehilangan PAS.
Kenapa tak disebut pula PAN? Sebab orang tak sedar pun kewujudann mereka!

Hakikatnya DAP adalah liabiliti sekarang. Sekiranya ahli-ahli Umno mengetahui bahawa PAS juga sudah tidak bersama DAP, tiada apa-apa alasan lagi untuk mereka menolak PAS. Dengan kebencian terhadap Najib dan konco-konconya semakin menebal di kalangan ahli bawahan Umno dan penyokongnya, maka hampir pasti mereka akan memilih PAS sebagai tanda protes.

Yyang perlu dilakukan adalah menyampaikan kepada seluruh rakyat terutamanya umat Melayu, bahawa PAS sudah tidak ada kaitan dengan DAP.

Pendekatan politik matang dan sejahtera amat kena pada masanya. Pada saat orang Umno meluat dengan kepimpinan mereka, PAS mengajar ahlinya untuk mendekati mereka. Pakatan dengan parti serpihan Umno iaitu Ikatan bakal menjadi jambatan untuk menghubungkan orang melayu dalam Umno yang sudah tawar hati terhadap Umno tetapi masih sukar untuk menerima PAS yang dilihat begitu Islamik buat mereka.

Mana-mana parti politik perlu mengakui bahawa orang Melayu adalah teras kuasa politik Malaysia. Walaupun hampir kesemua bukan melayu menolak BN dalam pilihan raya lepas, mereka masih memerintah kerana berjaya memperdayakan Melayu. Justeru, untuk mengubah kepimpinan negara, sokongan Melayu perlu ditarik. Siapa dapat sokongan Melayu, merekalah yang akan memerintah.

Hanya ada satu cara untuk menguasai Malaysia tanpa sokongan Melayu, iaitu dengan memecahkan sokongan Melayu kepada beberapa kumpulan. Dan mungkin inilah strategi yang sedang dirangka.

Mereka membiayai penubuhan PAN supaya dapat menambah ribut serta merebut sokongan Melayu dari parti-parti orang Melayu yang sedia berpecah seperti Umno, PAS dan PKR.

Jangan risau keputusan Majlis Syura untuk putuskan tahaluf bersama DAP. Sebagaimana bertahaluf dulu kena pada masanya, kini berputus tahaluf juga tepat pada masanya. Menjelang PRU14 nanti, banyak lagi kejutan baru akan kita hadapi. Selamat datang ke dunia politik.

Dalam politik, kita tak boleh kekal statik. Itu jumud namanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...