TERKINI :

Sunday, April 10, 2016

Pas dakwa Amanah manipulasi isu berhubung ‘Pas sebagai penasihat Umno’

Wartawan Sinar Harian

Hanafiah Mat

KUALA TERENGGANU – Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat akan terus menerus memanipulasi isu berhubung ‘Pas sebagai penasihat Umno’ kepada rakyat serta memainkan isu Pas bekerjasama dengan Umno.

Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar, sebagaimana diputuskan dalam muktamar Pas bahawa tidak wujud kerjasama antara Pas dan Umno sebaliknya Pas akan terus melawan Umno.

Beliau percaya, tindakan tersebut dibuat ekoran pihak terbabit kekeringan idea untuk menarik perhatian rakyat kepada parti itu.

“Kita bukan menjadi penasihat sebagaimana dikatakan tetapi kita menasihati dalam perkara baik. Sesiapa pun kalau menjadi kerajaan dan jika kita melihat ada sesuatu yang tidak kena, kita akan nasihat.

“Ini menunjukkan bahawa mereka tidak ada idea. Di mana-mana pun, mereka akan bercakap bukan sahaja di Terengganu tetapi di luar Terengganu pun. Mereka hanya ada isu ini sahaja,” katanya di sini.

Beliau menjelaskan bahawa perkara itu telah disedari sejak awal oleh ahli dan pemimpin Pas yang memperlihatkan seolah-olah pihak terlibat mahu bersaing dengan Pas, bukan dengan Umno dan BN.

Keadaan itu katanya, terbukti apabila pemimpin dari parti terlibat lebih suka ‘menyebut’ nama Pas dalam ceramah mereka bagi mengalih perhatian dan sokongan rakyat daripada Pas.

“Ada satu ceramah yang dibuat sebelum ini, pemimpin DAP dan PKR mengkritik Umno tetapi lain pula dengan Amanah, mereka mengkritik Pas. Kita tahu perkara ini,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa Pas tidak akan melibatkan diri bersama-sama dengan Amanah termasuk himpunan besar-besaran anjuran parti itu pada Mei depan, selepas Himpunan Bantah GST, Sabtu lalu.

Hanafiah berkata, jika mereka terpaksa bertanding di kerusi yang sama dengan Amanah pada PRU14 akan datang, pihaknya akan menerima dengan terbuka.

“Kita tidak akan terlibat dengan Amanah. Kalau mereka tanding di kerusi kita, kita akan terima dengan terbuka,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...