TERKINI :

Monday, April 11, 2016

Najib sedar dan tandatangan dokumen perjanjian RM3.92 bilion – Shahrol

shahrol.najib
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja sedar tetapi juga telah menandatangani kerjasama antara 1MDB dan Petro Saudi bernilai RM3.92 billion (USD1 bilion).

“Beliau menandatangani dokumen jadi bermakna beliau sedar,” kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Akhbar The Sun melaporkan, berdasarkan tranksrip rakaman hansard ketika prosiding PAC yang dikeluarkan baru-baru ini, Shahrol memberitahu, 1MDB telah memperoleh kebenaran pemegang saham dan Lembaga Pengarah untuk kelulusan perjanjian itu yang telah ditandatangani Perdana Menteri, seperti yang dikehendaki mengikut Memorandum & Artikel syarikat (M & A).

Mengikut Artikel 117 (c) M & A, sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan), penstrukturan atau apa sahaja perkara yang melibatkan jaminan kerajaan untuk kebaikan syarikat, kepentingan negara dan sebarang polisi kerajaan perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri.

“Ada perbincangan mengenai bagaimana usaha sama itu dilakukan. Tetapi saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa sebenarnya perjanjian itu dibentangkan dan ia telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah 1MDB dan pengurusan mengambil sebagai kuasa untuk memuktamadkan perjanjian itu, ” katanya menurut rakaman hansard itu.

Shahrol menjelaskan perkara ketika disoal ahli PAC William Leong Jee Keen dan Tony Pua Kiam Wee.

Berdasarkan rakaman Hansard itu juga, Pua bertanyakan penglibatan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dalam perjanjian itu, Shahrol memberitahu, Jho Low individu bertanggungjawab memperkenalkan Petro Saudi kepada 1MDB.

Katanya, Jho Low bekas Penasihat Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudian dikenali 1MDB.

Dalam laporan PAC mengenai 1MDB setebal 106 muka surat yang dibentangkan di Dewan Rakyat Khamis lalu membuat kesimpulan berjanjian kerjasama berjumlah USD1 bilion dibuat tanpa usaha yang sewajarnya.

Laporan itu menyatakan, tiada maklumat terperinci tentang projek dalam kertas cadangan yang disediakan pihak pengurusan dan tiada kajian sebarangan kemungkinan yang berlaku terhadap pelaburan yang dijalankan itu.

PAC mendapati Lembaga Pengarah 1MDB gagal melaksanakan tugas untuk melindungi syarikat dan pemegang saham dan meletak kesalahan kepada Shahrol di atas kelemahan-kelemahan pengurusan.

Laporan itu juga mengesyorkan pihak terlibat menyiasat Shahrol dan pegawai pengurusan 1MDB yang berkaitan.

Shahrol dalam satu kenyataan media bagaimanapun menjelaskan, tiada kesalahan atau aktiviti melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika di bawah pengawasannya.

Katanya, beliau telah penjelasan penuh dan secara jujur kepada PAC tentang perkara yang berlaku ketika beliau menjadi CEO 1MDB dan bersedia untuk memberi kerjasama.

“Saya akan terus beri kerjasama penuh, yakin dengan sepenuh hati bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang hendak disembunyikan,” kata Shahrol.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...