TERKINI :

Wednesday, April 27, 2016

Mukhriz terus bongkar kepincangan pemimpin UMNO

mukhriz-umn

PETALING JAYA: Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertekad akan terus mendedahkan segala kepincangan dalam UMNO demi menyelamatkan parti itu daripada kerakusan segelintir pemimpin.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, ia termasuk isu-isu yang mempunyai kepentingan kepada rakyat.

“Pendedahan terbaru pasti ada setiap kali turun jelajah seluruh negeri, anda tunggu dan lihat,” katanya lapor Sinar Harian Online.

Menurut Mukhriz, pada masa ini pemimpin yang dilabel sebagai `Team B’ akan melontarkan pandangan alternatif berhubung apa yang berlaku dalam negara.

“Rakyat Kedah yang mahukan jawapan tentang situasi sebenar apa yang berlaku dalam negara bolehlah hadir.

“Saya nak ajak rakyat Kedah termasuk ahli UMNO dan pembangkang datang dan dengar sendiri apa yang akan kami dedahkan, termasuk isu-isu Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz yang mengulas kenyataan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah apabila menyifatkan tindakan pemimpin UMNO yang menyertai siri jelajah Deklarasi Rakyat telah memecah belahkan parti, beliau berkata, Menteri Besar Kedah itu perlu merujuk krisis yang pernah berlaku pada Januari lalu berhubung jawatan yang disandangnya.

“Sebelum gerakan menjatuhkan saya sebagai menteri besar, Umno Kedah tidak berpecah. Usaha menggantikan saya dengan Ahmad Bashah itulah yang jadi penyebab parti berpuak-puak di peringkat akar umbi,” katanya.

Mukhriz akan berada sepentas dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad membicarakan isu-isu semasa Selamatkan Malaysia, pada malam esok di Dewan Lye Huat Garden, Napoh, Jitra.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...