TERKINI :

Friday, April 22, 2016

MT UMNO menganggap Mahathir sudah tidak relevan

Mohd Puad Zarkashi

KUALA NERUS - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semakin kehilangan pengaruh dan sudah tidak relevan lagi setelah gagal dalam cubaannya menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Dr Mahathir perlu menerima hakikat bahawa semua perancangannya untuk menyingkirkan Najib gagal dilaksanakan walaupun menyebar fitnah tentang derma RM2.6 bilion.

"Sebelum ini Tun M (Dr Mahathir) mengaitkan Najib dengan kehilangan dana RM4.2 bilion, namun laporan telah dibuat oleh hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membuktikan Najib tidak bersalah.

"Begitu juga dengan isu RM2.6 bilion, Menteri Luar Arab Saudi sudah sahkan bahawa wang tersebut adalah dana politik. Adakah Tun M akan minta maaf setelah semua ini terbukti?" kata Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Jasa Connectivity (JS) oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri A Latiff Awang dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Terengganu Adli Kesah.

Puad berkata sokongan terhadap Dr Mahathir jelas menurun apabila tidak ramai yang menghadiri program anjurannya sendiri. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...