TERKINI :

Thursday, April 28, 2016

Misteri 1MDB terus hantui gabenor baru

Bukan sedikit 'peninggalan' Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang secara rasminya meninggalkan Bank Negara setelah 16 tahun menduduki kerusi gabenor pada hujung bulan ini.

Beliau yang mengambil alih jawatan tertinggi bank pusat itu daripada arwah Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman pada tahun 2000 mencatat sejarah wanita pertama terpilih menduduki kerusi itu.

Zeti malah menempa nama di peringkat antarabangsa dengan meraih pelbagai anugerah berprestij.

Anak profesor diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid kelahiran Johor Bahru itu mendapat pengiktirafan global apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Jurnal Bank Pusat, sebuah penerbitan kewangan berpusat di London dan pingat Dekan Wharton University Pennsylvania.

Selain itu, Zeti juga dianugerahkan Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia pada tahun 2010 oleh majalah Global Finance selain Tokoh Maal Hijrah tahun sama.

Di sebalik kerja keras dan kejayaan demi kejayaan, persaraan Zeti pada usia 69 tahun sedikit sebanyak tercalar dengan skandal firma pembangunan strategik dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia, 1MDB.

Sehingga hari ini, setelah kerajaan mengumumkan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai pengganti Zeti, Bank Negara belum dapat merungkai misteri yang melanda syarikat yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Misteri tersebut terus memamah persepsi Malaysia di mata dunia dengan lebih banyak persoalan timbul berbanding jawapan, walaupun selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah membentangkan laporannya di parlimen.

Sumber sahih

Oleh itu, Muhammad, 56, yang bakal mengambil alih kerusi nombor satu bank pusat pastinya berdepan dengan banyak cabaran mengendalikan isu 1MDB ke tahap seterusnya.

Ini harus ditangani ketika prestasi ekonomi tidak menentu dengan kejatuhan harga minyak dan krisis politik yang kian meruncing.

Di sebalik jawapan bos 1MDB, Arul Kanda Kandasamy ketika berdepan serangan bertali arus pemimpin pembangkang seperti Tony Pua dan Rafizi Ramli, Bank Negara pasti menjadi sumber sahih apabila bersuara mengenai 1MDB.

Lebih-lebih lagi ketika serangan itu nampak seperti tiada kesudahan.

Yang pasti, semua pihak termasuk media antarabangsa pastinya ternanti-nanti perkembangan terkini hasil siasatan 1MDB oleh Bank Negara yang setakat ini, belum nampak bayang-bayangnya lagi di mata umum.

Justeru, segala gerak-geri Muhammad pastinya mendapat perhatian banyak pihak dalam menentukan tahap kebebasan bank pusat itu dari pengaruh politik negara, lonjakan kredibiliti ekonomi, pengurusan persepsi selain strategi menjana ekonomi bagi mencapai pertumbuhan diharapkan.

Selain 1MDB, Muhammad juga berdepan cabaran memastikan kesinambungan dasar monetari dengan memberi lebih keutamaan terhadap kestabilan kewangan dan pertumbuhan mapan dalam usaha negara mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang disasarkan.

Sebagai contoh, sebarang perubahan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) bukan sahaja akan memberi impak kepada sektor perbankan tempatan malah memberi kesan kepada sektor-sektor lain seperti paras hutang, kepenggunaan, automotif, komoditi dan pergerakan mata wang.

Soalnya, adakah 'beban' yang ditinggalkan Zeti itu terlalu besar untuk dipikul Muhammad?

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...