TERKINI :

Saturday, April 23, 2016

Mahfuz - 'Hapuskan denda wang pesalah trafik'

 Mahfuz Omar

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan menghapuskan denda wang terhadap pesalah trafik sekiranya ingin melaksanakan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).

Menurut Mahfuz, ini kerana perlaksanaan Awas bakal menyebabkan pesalah trafik terpaksa menerima dua hukuman daripada satu kesalahan yang mereka dilakukan.

"Pertama, pesalah trafik berkenaan akan dihukum dengan membayar denda oleh mahkamah atau kompaun tidak kurang RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000 di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

"Hukuman kedua pula, pesalah trafik berkenaan akan digantung lesen memandunya di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) apabila mencapai 60 mata demerit.

“Jika kerajaan ikhlas mahu didik pemandu mematuhi undang-undang jalan raya, hapuskanlah hukuman denda wang ringgit ini.

“Cukup dengan kuat kuasakan Kejara yang telah sedia ada iaitu sistem mata demerit yang membawa penggantungan lesen memandu.

"Malah Kejara boleh ditambah dengan hukuman khidmat sosial kepada pesalah,” katanya melalui kenyataan media, semalam.

Beliau memberitahu, tindakan kerajaan mengenakan dua hukuman bagi satu kesalahan trafik adalah sangat bertentangan dengan keadilan hak asasi manusia.

“Ini menunjukkan perlaksanaan AES bukan sahaja bertujuan mendidik pemandu tetapi sebagai sumber pendapatan kerajaan yang begitu terdesak dengan masalah kewangan,” katanya.

Untuk rekod, Awas yang menggabungkan AES dan Kejara dijangka dilaksanakan mulai Mei depan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi memaklumkan, pindaan bagi Akta Jabatan Pengangkutan Jalan berkaitan penggabungan sistem Awas dijangka dibentangkan di Parlimen, Mei nanti.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...