TERKINI :

Thursday, April 7, 2016

Mahathir: Najib tahu, kenapa hukum bekas CEO 1MDB


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berasa sedih apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara meletakkan tanggungjawab berhubung kelemahan 1MDB kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Halmi.

"Saya rasa sedih pada (bekas) CEO itu, dia tidak mengasaskan 1MDB, 1MDB dimulakan perdana menteri (Datuk Seri) Najib Abdul Razak.

"(Najib) penasihatnya, apa saja yang berlaku kepada 1MDB dia mesti tahu.

"Sebenarnya tiada apa boleh dibuat tanpa persetujuannya, jadi kenapa hukum lelaki (bekas CEO) ini," kata Mahathir.

Antara kelemahan yang dipetik dalam laporan PAC mengenai 1MDB adalah pengurusan yang melanggar keputusan dan nasihat daripada lembaga pengarah, atau bertindak sebelum ahli Lembaga membuat keputusan tertentu.

Lembaga pengarahnya dalam satu kenyataan kemudian menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara ini, Mahathir menjawab bahawa seluruh 1MDB perlu dibubarkan.

"Mereka tidak melakukan apa-apa yang baik sama sekali," katanya.

Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum tertutup mengenai gerakan 'Selamatkan Malaysia' di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...