TERKINI :

Wednesday, April 27, 2016

Laporan: MB T'ganu mungkin diganti, dua nama disebut


Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman mungkin akan digantikan, lapor Sin Chew Daily.

Laporan itu, yang memetik sumber-sumber, berkata perubahan itu hampir pasti selepas Sultan Terengganu awal minggu ini melucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Razif.

Ia memetik sumber-sumber itu sebagai berkata, pertemuan yang disebut-sebut antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Sultan Terengganu mungkin membincangkan pengganti Razif.

Laporan itu mendakwa Istana Terengganu cenderung kepada ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat untuk mengambil alih jawatan menteri besar.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin Umno bahagian lebih cenderung kepada ADUN Permaisuri, Datuk Mohamad Jidin untuk menerajui kerajaan negeri.

Rozi dipetik oleh Free Malaysia Today sebagai berkata beliau masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu dan oleh itu sebarang desas-desus mengenainya adalah tidak benar.

Walaupun mengesahkan bahawa Razif masih belum secara rasmi dimaklumkan untuk berundur, laporan itu memetik sumber sebagai berkata kedudukan Razif itu sudah tidak lagi dapat dipertahankan.

"Walaupun jika beliau tidak bersedia untuk berundur, tapi tanpa sokongan istana, ia akan menjadi sangat sukar bagi kerajaan negeri untuk terus berfungsi.

"Dalam keadaan seumpama itu, peletakan jawatannya akan menjadi satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini," sumber itu dipetik sebagai berkata.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...