TERKINI :

Tuesday, April 19, 2016

Laporan 1MDB WSJ dicalonkan untuk Hadiah Pulitzer

Siri artikel terbitan The Wall Street Journal mengenai skandal kewangan yang didakwa dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan firma pelaburan negara 1MDB berjaya dicalonkan untuk kategori laporan antarabangsa bagi Hadiah Pulitzer.

"Liputan kami 'Watergate Malaysia' # 1MDB adalah finalis bagi Hadiah Pulitzer dalam kategori laporan antarabangsa," tulis WSJ dalam tweet pagi ini.

Menurut laman web rasmi Hadiah Pulitzer, WSJ mengemukakan siri artikel yang disiarkan antara Julai dan Disember tahun lalu - ditulis oleh Tom Wright, Bradley Hope, Simon Clark, Mia Lamar dan James Hookwood.

Mereka diberikan kredit bagi hasil kerja-kerja yang digambarkan sebagai "laporan cemerlang dalam mendedahkan amalan rasuah di peringkat tertinggi di demokrasi yang rapuh, membawa kepada Watergate Malaysia".

Antara lain, artikel yang dikemukakan bertajuk "Malaysia Leader's Accounts Probed" (2 Julai), "Leader Faces Fire Over Fund" (15 Oktober), dan "The Money Network of Malaysian Politics" (28 Disember).

Najib dan penyokongnya dari parti pemerintah BN berulang kali menuduh WSJ menjaja tuduhan palsu dan diperkudakan oleh mereka yang mempunyai agenda politik untuk menjatuhkan kerajaan.

Akhbar itu bagaimanapun, terus berdiri teguh dengan laporannya sehingga hari ini dan menyokong supaya Najib memfailkan saman fitnah terhadap sebarang laporan yang didakwa palsu.

Anugerah Hadiah Pulitzer disampaikan kepada pemenang pada hari Isnin.

Lembaga Hadiah Pulitzer menganugerahkan Alissa Rubin dari The New York Times sebagai pemenang kategori laporan antarabangsa untuk kerjanya di Afghanistan pada 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...