TERKINI :

Sunday, April 3, 2016

Langkawi kekal lokasi paling lama tanpa hujan

langkawi
KUALA LUMPUR: Langkawi, Kedah kekal menjadi lokasi paling lama iaitu 47 hari tanpa hujan hingga semalam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, Arau, Perlis pula mengalami tanpa hujan selama 42 hari manakala Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang selama 33 hari.

“Bagi bacaan suhu, secara amnya sehingga 4 petang hari ini (semalam), tiada kawasan merekodkan bacaan suhu maksimum melebihi 37 darjah celsius yang juga menamatkan gelombang haba di Alor Setar, Kedah dan Chuping, Perlis,” katanya dalam kenyataan.

Pada Khamis lepas (31 Mac), Chuping dan Alor Setar dilanda gelombang haba dengan masing-masing mencapai suhu tertinggi 38.6°C dan 37.9°C.

Di Sandakan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menggerakkanoperasi menghantar bekalan air bersih kepada penduduk kampung yang terjejas kemarau akibat fenomena El-Nino.

Pegawai Operasi JPAM Sandakan, Amrin Amirun berkata, pihaknya mengagihkan kira-kira 144,000 liter air kepada 120 rumah penduduk di Kampung Linayukan, Tongod.

Bekalan itu untuk masak dan minum adalah dari Loji Jabatan Air Sandakan.
Menurutnya sehingga hari ini, JPAM Sandakan menerima laporan terdapat 24 kawasan yang terjejas akibat fenomena itu di sekitar daerah Sandakan, Telupid, Beluran dan Kinabatangan serta Tongod.

“Terdapat sembilan kampung terjejas kemarau di daerah Sandakan, sebuah kampung di Kinabatangan, lapan buah kampung dan dua sekolah di Beluran manakala Telupid dan Tongod masing-masing dua buah kampung,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kebanyakan kampung yang terlibat adalah kampung yang bergantung harap kepada punca air graviti.

Katanya, setiap rumah akan menerima 100 gelen air bagi tujuan masak dan minum pada setiap kali penghantaran dengan kadar dua penghantaran dalam masa satu minggu.

JPAM Sandakan adalah setiausaha bencana bagi lima daerah berkenaan iaitu Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Tongod.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...