TERKINI :

Wednesday, April 20, 2016

Kepimpinan PAS masih berbelah bagi seruan Dr. Zakir Naik

Kepimpinan PAS berbelah bagi dalam menyambut seruan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik supaya parti Islam itu bergabung dengan Umno dalam kerajaan campuran.

Sebahagian mereka berpegang kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS Januari lalu bahawa PAS tidak akan menyertai BN.

Bagaimanapun, Dewan Ulama PAS berpendirian berbeza apabila masih terbuka untuk berbincang dengan perdana menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) dalam kenyataan berkata mereka tetap dengan pendirian sebelum ini.

“PAS sentiasa berpegang kepada dasar Islam yang mana salah satunya adalah bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

“PAS juga berpegang teguh kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang telah bersidang pada 2 Januari 2016 yang mengesahkan perkara sebagaimana di atas di samping menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai BN,” kata Takiyuddin.

Dalam rakaman bual bicara TV AlHijrah semalam Dr Zakir berkata kerajaan campuran Umno dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam.

Dr Zakir Naik berkata jika perkara itu menjadi kenyataan ia adalah sesuatu yang terbaik untuk Islam.

Idris: Pandangan orang luar

Sementara itu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad (gambar) pula menyifatkan seruan Dr Zakir sebagai pandangan orang luar.

“Pendirian PAS jelas bahawa tidak timbul soal kerajaan campuran Umno-PAS dan ia tidak akan berlaku.

“Itu pandangan dia (Dr Zakir) sebagai orang luar dan terpulang kepada beliau"

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...