TERKINI :

Wednesday, April 13, 2016

Kenapa tak tahan, siasat Arul Kanda?

Rafizi Ramli
SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengingatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa segala tindak tanduk beliau berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang diperhatikan oleh rakyat.

Menurut beliau, pihaknya telah membuat laporan terhadap Presiden/Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pada 30 Mac lalu, namun sehingga kini Khalid masih belum mengeluarkan arahan agar pihak berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Jika saya boleh ditahan hanya dalam tempoh tujuh jam selepas laporan polis terhadap saya dibuat, kenapa sehingga sekarang Ketua Polis Negara ini belum mengeluarkan arahan agar Arul Kanda juga ditahan untuk siasatan lanjut.

“Tepat jam 2 petang hari ini, dua minggu telah berlalu sejak saya membuat laporan polis terhadap Arulkanda dan pengurusan kanan 1MDB,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

30 Mac lalu, Rafizi telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi terhadap Arul Kanda dan pengurusan kanan 1MDB berhubung satu maklumat dari Laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan sejumlah RM288 juta telah dibelanjakan tanpa dimaklumkan dahulu kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan berkata, oleh kerana Jabatan Audit Negara mengesahkan bahawa dokumen yang didedahkan olehnya adalah sahih, maka sudah tentu maklumat yang terkandung di dalamnya juga adalah sah.

“Ini mengesahkan bahawa Arul Kanda dan pengurusan kanan 1MDB telah membuat pembayaran RM288 juta tanpa dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah terlebih dahulu dan asas yang kukuh untuk memulakan siasatan terhadap mereka,” katanya.

Tambah Rafizi, beliau akan menunggu sehingga Jumaat ini bagi melihat sama ada tindakan akan diambil terhadap Arulkanda untuk ditahan bagi menjalani siasatan berhubung isu tersebut atau pihaknya kan memulakan langkah-langkah lain selepas ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...