TERKINI :

Thursday, April 7, 2016

KALAU SEDEKAH SETIN BISKUT PUN PASTI TAHU SIAPA MENGARAHKANNYA, INIKAN PULA....

Shahbudin Husin,

Ini satu lagi lawak antarabangsa...

Dalam jawapan bertulis yang diberikan Najib Razak selaku Menteri Kewangan di Parlimen, beliau memberitahu, SRC International tidak mempunyai maklumat mengenai siapa yang memberi arahan untuk menyalurkan RM42 juta daripada dana syarikat itu ke dalam akaun peribadinya.

Jawapan itu diberikan Najib kepada pertanyaan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang meminta Najib mendedahkan siapakah individu dalam SRC International yang mengeluarkan arahan mengenai penyaluran wang sebanyak RM42 juta itu.

Kohkohkoh....

Seluruh dunia dan isinya, termasuk beruk, kera dan monyet di hutan serta lintah dan pacat pun pasti ketawa sekali dengan jawapan Najib kali ini.

Tidakkah ini sesuatu yang pelik dan paling menggelikan hati? Ia bukan melibatkan RM1 atau RM10 tetapi RM42 juta, bagaimana ia boleh tidak diketahui siapa yang memberi arahannya sehingga sekarang?

Kalau ada rumah kebajikan tiba-tiba didapati menerima setin biskut daripada sebuah kedai runcit misalnya, adakah logik siapa yang mengarahkan pemberian itu  tidak diketahui sama sekali?

Sudah tentu, jika ia bukan dilakukan oleh taukenya sendiri, ia mungkin diarahkan oleh isteri, anak atau sesiapa saja yang berkuasa dalam menguruskan kedai tersebut.
Mustahil tin biskut boleh berjalan sendiri ke rumah kebajikan itu. Begitu juga dengan wang RM42 juta, adakah mungkin ia berpindah sendiri secara automatik ke akaun peribadi Najib?

Selain itu, bagaimana pula dengan Najib yang menerima wang tersebut?

Setelah sebelum ini ada menyebut tidak mengetahui wang itu daripada SRC International, kenapa senyap dan diam seribu bahasa saja apabila sumber wang itu didedahkan?

Kalau dah tahu sumbernya daripada SRC International, walaupun tidak diketahui siapa yang mengarahkan pemberiannya, tak teringinkah memulangkan semula wang itu? (SH 07/04/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...