TERKINI :

Sunday, April 24, 2016

Dr Vida buntu, ancam tarik diri taja The Red Warriors

KOTA BHARU: Dr Vida mengancam untuk menarik diri daripada terus menaja Kelantan sekiranya pasukan itu masih mempamerkan prestasi tidak konsisten sehingga tamat pusingan pertama Liga Super 2016 musim ini.

Perkara itu dimaklumkan Dr Vida atau nama sebenar Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, yang sudah hilang sabar dengan prestasi yo-yo pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) yang tiga kali masing-masing kalah, menang dan seri sepanjang mengharungi sembilan perlawanan.

Jutawan kosmetik itu berkata, keadaan Kelantan tetap sama dengan musim lalu, meskipun pasukan itu sudah menerima suntikan jutaan ringgit daripadanya.

Katanya, beliau tidak mempunyai masalah untuk membuat keputusan berkenaan memandangkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ada melanggar beberapa syarat dalam perjanjian yang dibuat sebelum ini.

"Saya sudah buntu untuk memikirkan masa depan Kelantan yang 'serba indah khabar daripada rupa'," kata Dr Vida.

"Sebaliknya, saya terus menerima tekanan daripada pelbagai pihak dan ada antara mereka menyalahkan saya apa yang terjadi.

"Sebagai ahli perniagaan, apa yang saya laburkan sudah pasti mahukan pulangan, tidak kira apa bentuk. Pelaburan itu bukan sedikit, tapi membabitkan jutaan ringgit.

"Setakat ini saya sudah membelanjakan lebih RM3 juta untuk Kelantan termasuk pembayaran gaji sebanyak RM1.7 juta. Selebihnya kos cat Stadium Sultan Muhammad IV dan beberapa perkara lain."

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...