TERKINI :

Wednesday, April 13, 2016

Blok politik ketiga: Abdul Kadir nafi Looi letak jawatan kerana tekanan


Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menolak dakwaan bekas Naib Presidennya Datuk Tony Looi yang letak jawatan kerana menerima tekanan selepas Ikatan-Pas bekerjasama mewujudkan blok politik ketiga.

Datuk Tony Looi
Datuk Tony Looi
Abdul Kadir berkata, partinya menerima surat peletakkan jawatan Looi pada minggu lalu.

"Kami terima peletakan jawatannya pada minggu lalu. Setahu kami peletakan jawatan itu dibuat kerana beliau terlalu sibuk dengan aktiviti pertubuhan dalam masyarakatnya.

" Malah beliau juga jarang dapat menghadirkan diri kerana terlalu sibuk pergi ke luar negara. Jadi kita terima baik perletakan jawatannya.

"Jika ada laporan mengatakan beliau sering menjadi sasaran kutukan dan boikot setelah Ikatan dan Pas bekerjasama, itu lebih kepada masalah peribadinya, bukan masalah parti.

"Beliau tiada masalah dengan kami bahkan ramai ahli dalam dewan tertinggi Ikatan tidak menghadapi masalah penerimaan dikalangan kaum mereka sejak Ikatan bersama Pas," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Hari ini Looi dalam satu kenyataan kepada akhbar China Press dipetik oleh Malaysiagazette berkata, beliau berasa lega selepas mengumumkan keputusan untuk meninggalkan parti politik pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir itu.

Katanya lagi, kerjasama antara Ikatan dengan Pas menyebabkan ramai pihak salah faham terhadapnya sehingga beliau sering menjadi sasaran kutukan malahan diboikot.

Menurutnya, golongan yang salah faham terhadapnya termasuk ahli keluarga dan kawan sendiri.

"Adalah agak sukar untuk melakukan penjelasan apabila orang lain sudah salah faham," katanya kepada China Press.

Sambung Abdul Kadir lagi, kemungkinan Looi berkata demikian untuk menjadikannya 'hero' dikalangan masyarakatnya.

"Pada kami sejak dilantik Naib Presiden, beliau kelihatannya menghadapi kekangan masa untuk hadir mesyuarat. Itu sahaja." terangnya.

Ikatan mempunyai lapan orang Naib Presiden mewakili kaum masing-masing dalam jawatankuasa tertinggi parti itu.

Mengulas siapakah yang mungkin akan mengantikan tempat Looi dari masyarakat Cina, Abdul Kadir berkata, ia masih lagi diperingkat perbincangan parti itu.

"Kita akan cari penganti bagi jawatan Naib Presiden itu mestilah di kalangan pemimpin masyarakat Cina kerana naib presiden lain mewakili kaum masing-masing." ujarnya.


Apa perancangan terkini Ikatan-Pas ?

Pas- Ikatan secara rasmi telah menubuhkan blok politik ketiga pada 16 Mac lalu bagi berhadapan dengan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam membentuk strategi menang Pilihanraya Umum ke-14 kelak.

Ditanya perkembangan terkini kerjasama politik itu Abdul Kadir menjelaskan, selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri Sarawak dijangka pada Mei depan, Pas-Ikatan akan mengumumkan beberapa persetujuan bersama untuk memantapkan lagi kolaborasi kedua parti ini.

"Untuk waktu terdekat ini kita akan turun ke Sarawak untuk membantu calon Pas berkempen.

"Secara jelas dan serius kita akan memperjuangkan masalah pekebun kecil dan harga getah iaitu masalah yang cukup besar membabitkan penoreh getah di negara ini.

"Selain itu kita akan bersama menguruskan dana politik untuk disalurkan kepada ahli-ahli politik yang mana satu memorandum akan ditandatangani bersama secara rasmi supaya ia lebih telus," ujarnya tanpa mahu mengulas lanjut mengenai gerak kerja kedua parti itu sejak bersetuju menjalin kerjasama politik sebulan yang lalu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...