TERKINI :

Monday, April 11, 2016

Artis luar boleh masuk, pendakwah Islam dilarang


Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) hari ini mempersoalkan tindakan segelintir pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila bertindak menghalang penganjuran satu forum di Melaka yang menampilkan pendakwah Islam kontroversi Dr Zakir Naik.

Naib Yang di-Pertua ISMA cawangan Melaka, Shuhaib Ar Rumy Selamat berkata sebaliknya halangan yang sama tidak pula berlaku kepada acara yang melibatkan hiburan.

Shuhaib berkata bukan sahaja tiada halangan untuk mana-mana artis luar masuk ke Malaysia malah tidak terdapat sebarang bantahan terhadap mereka.

“Pelawak, artis joget, penyanyi semua masuk ke dalam negara untuk menjahanamkan generasi muda tapi tak ramai yang bising untuk kerajaan halang.

“Bila pendakwah nak masuk, riuh satu dunia. Apalah nasib negara ni,” kata Shuhaib menerusi status yang dimuatnaik di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada isu penceramah terkenal itu yang dihalang meneruskan ceramahnya yang bertajuk 'Persamaan antara agama Hindu dan Islam' di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di Melaka pada 17 April ini.

Pada 10 April lalu, laporan polis dibuat oleh Pemuda MIC Negeri Sembilan dan gabungan NGO kaum India, RAPAT terhadap pendakwah berkenaan.

Mereka mendakwa Zakir sebelum ini pernah menghina penganut Hindu dan Kristian pada satu majlis di Shah Alam.

Susulan itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini memaklumkan telah mengarahkan penganjur membatalkan acara itu atas alasan ia boleh mengganggu ketenteraman awam kerana berunsur sensiviti keagamaan.

Zakir yang pernah diiktiraf sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2012 kini berada di Terengganu untuk menghadiri beberapa acara di bawah jemputan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Razif Ismail.

Sebelum ini Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan mana-mana pihak yang membantah ceramah Zakir Naik agar hadir ke ceramah umum itu bagi berdebat secara intelek ketika sesi soal jawab.

Menurut Asri, Zakir Naik yang terkenal sebagai tokoh perbandingan agama di peringkat antarabangsa tidak pernah mengajak ke arah permusuhan agama.

Asri juga berkata Zakir adalah seorang pendakwah terkenal di seluruh dunia dan kuliahnya telah meyakinkan beribu orang untuk memeluk Islam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...