TERKINI :

Sunday, April 10, 2016

Apa sudah jadi, Sanggup telanjang sebab kepanasan

TOK PERAK

TOK PERAK
*CUACA panas yang melanda seluruh negara – diramalkan hingga pertengahan tahun, adusss! – amat ketara memberi kegelisahan dan keresahan kepada semua.

Seperti dilaporkan media sudah ramai yang diwadkan, malah ada yang meninggal dunia, sebab strok haba. Tidur malam pun tidak lena sebab haba membahang hingga ke subuh.

Dalam pada itu petani dan pekebun sayur, termasuk di Cameron Highlands, menjangka pengeluaran ladang merosot sebab tanaman kekeringan gara-gara tidak cukup air.

Di Perak dilaporkan durian tidak menjadi sebab cuaca panas. Hatta mangga harum manis di Perlis pun terbantut sebab cuaca panas...

*NAMUN, sepanas-panas cuaca, panas lagi politik kita! Baik utara, selatan, timur dan barat, setiap detik iklim politik menggelegak.

Di utara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, digasak habis-habisan oleh sesetengah media atas isu pembelian banglo mewah yang dikaitkan dengan rasuah, juga isu tanah di Kampung Datuk Keramat, Seberang Perai.

Ada stesen TV setiap hari melaporkan secara meluas apa yang dikatakan skandal LGE. Macamlah isu banglo RM2 juta itu lebih hebat dari skandal mega RM bilion-bilion.

Apa pun, kalau betul LGE terlibat dengan skandal, SPRM patut menyiasat hingga ke akar umbi. Seperti yang dijelaskan LGE, beliau akan bekerjasama dengan semua pihak dalam siasatan berkenaan.

Pada hemat saya, dalam hal siasatan dan ketelusan, SPRM perlu tegas. Tidak kira melibatkan 2 sen, RM2, RM2 juta, hatta RM2 bilion, tertuduh perlu disiasat, tanpa mengira bulu.

*DI selatan, bahang politik tercetus sehari dua ini apabila ada cakap-cakap kononnya wujud gerakan untuk menukar Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden.

Melalui laman Facebook, Shukur Mohamad, anak kepada Speaker Dun Johor, Tan Sri Mohamad Aziz, mendakwa gerakan tersebut diketuai oleh seorang timbalan menteri yang dikatakan akan menggantikan Khaled.

Tidak dapat dipastikan siapakah timbalan menteri yang bercita-cita besar itu.

Boleh juga agak-agak sebab timbalan menteri Melayu dari negeri paling selatan itu tidak ramai.

Ini mungkin hanya gosip liar, tetapi cukup untuk menghangatkan lagi cuaca yang sedia hangat.

*PALING hangat setakat ini ialah politik di Negeri Penyu, apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman ‘berghocoh’ sakan dengan Datuk Seri Ahmad Said.

Ini gara-gara tindakan Adun Kijal yang juga bekas MB itu mengemukakan usul tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada persidangan Dun, 8 Mac, sambil menegaskan akan mendedahkan banyak lagi mengenai MB sekarang.

Razif memberi amaran kepada Ahmad Said, seperti yang disiarkan media: “Jangan cabar saya! Okay, kalau sama-sama nak buka (bongkar) kita buka, sama-sama nak telanjang kita telanjang...”

Namun untuk mengalah tidak sekali-sekali bagi Razif, sebab tambah beliau: “...Saya juga adalah keturunan darah pahlawan (Bugis). Saya sanggup perang!”

*ARAKIAN perihal perang dan telanjang, memang Razif sebelum ini pernah mengisytiharkan tahun ini sebagai tahun perang bagi Negeri Penyu. Kata pahlawan Bugis itu: “Perang yang saya maksudkan itu termasuk juga perang sesama sendiri.”

Beliau menambah dengan penuh semangat: “Kita perang tak kira perang sesama sendiri atau dengan yang luar. Kita tak akan mengalah, kita akan terus berjuang sampai titisan darah terakhir.”

Tambah pahlawan itu lagi: “Kita akan pertahan habis-habisan apa yang kita warisi, kita akan pertahankan kehebatan (Umno sejak) 70 tahun lalu dan kita akan pastikan 70 tahun lagi (Umno) akan terus hebat...”

Apakah Ahmad Said akan berdiam diri dengan cabaran pahlawan Bugis? Atau, apakah beliau bersedia untuk sama-sama telanjang? Inilah yang rakyat penyu sedang memerhatikan, sambil berkipas-kipas dalam kepanasan.

*AKHIR kalam, ada juga benda yang panas di sini tetapi dingin di luar, iaitu bola sepak. Di padang kita pasukan bola yang menyertai pelbagai liga tempatan sentiasa menimbulkan kehangatan dalam kalangan penyokong. Setiap kali pasukan berentap, selalu tercetus kepanasan luar biasa.

Tetapi pada peringkat dunia, boleh sepak kita terus dingin. Terkini, seperti yang dilaporkan, Skuad Harimau Malaysia jatuh ke posisi terendah pada kedudukan ke-174 dalam ranking terbaharu Fifa.

Kita berada No. 171 dunia pada Januari dan Februari, sebelum naik lima anak tangga ke No. 166 dunia pada Mac. Kecorotan ranking terkini adalah berikutan kalah 0-2 kepada Arab Saudi pada perlawanan terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, 24 Mac lepas. Teruskan semangat!


TOK PERAK

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...