TERKINI :

Saturday, April 16, 2016

Apa punya majikan, kerja suruh buat gaji tak mau bayar.. last bila mogok habis menyusahkan semua orang

Jaga mogok, murid jadi mangsa

Jaga mogok, murid jadi mangsa

ALOR SETAR - Beberapa pengawal keselamatan yang ditugaskan di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mendakwa tidak dibayar gaji selama lebih tiga bulan, menyebabkan mereka bertindak mengunci pintu pagar utama sekolah.

Ini menyebabkan murid-murid sekolah itu yang tiba seawal 6.15 pagi tidak dapat memasuki kawasan sekolah, dan menunggu lebih setengah jam sebelum pintu dapat dibuka.

Kelihatan kain rentang digantung di luar pagar sekolah; ‘Sila jelaskan gaji, tunggakan dan caruman KWSP. Kami nak makan, kami ada keluarga, kami nak bayar sewa.’

Salah seorang pengawal keselamatan itu berkata, kali terakhir mereka menerima gaji adalah Januari lalu, itu pun hanya sebahagian daripada gaji.

“Sudah beberapa kali kami bertanya kepada syarikat supaya segera lunaskan gaji tertunggak, namun pihak syarikat minta kami tunggu sehinggalah lebih tiga bulan tanpa gaji. Aduan juga telah dibuat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung perkara ini,” katanya.


Menurutnya, gaji Februari dan Mac dijanjikan akan dilunaskan sebelum 10 April, namun sehingga tarikh itu, bayaran masih belum diterima.

“Kami nekad bertindak sebab kami perlukan wang untuk urus kehidupan seharian. Sebelum ini, majikan berjanji akan bayar seribu dahulu dan selebihnya ansuran, namun kami kecewa apabila ia sekadar janji,” katanya.

Akibat tekanan itu, mereka sepakat mogok malam semalam dan mengunci pintu pagar sekolah.

“Kami kunci pagar untuk elak masalah lain seperti dipecah masuk atau berlaku kecurian. Kami masih ada tanggung jawab jaga harta benda sekolah, namun kecewa diperlakukan sebegitu,” katanya.

Menurutnya, mereka akan terus berkhidmat di syarikat terbabit dan meminta majikan lebih prihatin kebajikan pekerja.

“Sebelum ini tiada masalah, kami harap perkara ini tidak berulang dan kami tetap setia bekerja jika kebajikan dijaga,” katanya, yang menegaskan syarikat berkenaan menggaji empat pekerja untuk bertugas dua syif di sekolah itu.

Manakala, Pengerusi Pengelola Sekolah, Lim Gek Leng berkata, pihaknya menerima panggilan daripada ibu bapa sekitar 6.15 pagi, memaklumkan kejadian itu.

“Saya diberitahu, pengawal keselamatan yang bertugas syif malam tidak hadir bertugas dan menyebabkan pintu pagar sekolah tidak dibuka ketika murid tiba. Seorang guru lelaki terpaksa panjat pagar untuk ambil kunci dalam bilik pengawal,” katanya.

Menurutnya, hanya sekitar 7.00 pagi, murid-murid dapat memasuki kawasan sekolah semula.

Gek Leng berkata, seminggu sebelum ini, pengawal mogok namun ini kali pertama pintu pagar sekolah tidak dibuka.

“Pihak sekolah telah bertemu majikan pengawal keselamatan terbabit, namun alasan diberikan tidak boleh diterima,” katanya.

Kemelut itu dianggap selesai apabila difahamkan, majikan telah membayar sebahagian gaji tertunggak kepada pekerja terlibat, tengah hari semalam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...