TERKINI :

Monday, March 28, 2016

Undi Yang Dipertua Dewan Penentu DUN Terengganu Jika 16-16

KUALA TERENGGANU: Undi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi penentu status pemerintah di Terengganu jika kedudukan kerusi kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan pembangkang terikat 16-16, suatu keadaan yang boleh berlaku apabila seorang daripada wakil rakyat BN keluar parti.

BN menguasai 17 daripada keseluruhan 32 kerusi manakala bakinya dimiliki PAS (14 kerusi) dan Parti Keadilan Rakyat (satu kerusi).

Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Zubir Embong berkata undi beliau mempunyai kuasa pemutus untuk memberi sokongan sama ada kepada parti pemerintah atau parti pembangkang.

Katanya keadaan itu jelas dinyatakan mengikut Perkara 116 (1) Peraturan-Peraturan dan Perintah-perintah Tetap DUN Terengganu.

"(Menurut peraturan itu): Dewan hendaklah, jika tiada dengan sebulat suara, membuat keputusannya di atas undian suara terbanyak daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi; dan Yang Dipertua Dewan atau ahli yang menjadi Pengetua Dewan hendaklah mengundi apabila dikehendaki untuk mengelakkan undian yang sama banyak, tetapi tidaklah boleh ia mengundi pada masa yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 8 Mac lalu, Mohd Zubir menolak usul undi tidak percaya ke atas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang dibuat oleh Adun Kijal Datuk Seri Ahmad Said kerana tidak mengikut prosedur.

Dengan kelebihan yang ada pada Mohd Zubir, ia menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya kedudukan DUN Terengganu kini dalam keadaan goyah berikutan tindakan Ahmad, yang merupakan bekas Menteri Besar, menyanggah kepimpinan Ahmad Razif.

Tindakan Ahmad mengemukakan undi tidak percaya itu menimbulkan keresahan politik dan dan dilihat seolah-olah "memberi peluang kepada pembangkang mengambil alih pemerintahan".

Ahmad Razif sebelum ini menyifatkan tindak-tanduk Ahmad itu tidak mencerminkan beliau sebagai wakil pihak kerajaan.

Kenyataan Mohd Zubir hari ini seiring dengan kenyataan Ahmad Razif, yang menegaskan bahawa tidak akan ada kerajaan campuran di Terengganu.

Mengikuti rapat perkembangan politik Terengganu, pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Peradaban, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Hamdan Aziz berkata tindakan Ahmad Said dilihat lebih berunsur peribadi dan tidak membawa suara rakyat.

"Sekarang ini Ahmad Said tidak menyatakan pendiriannya sama ada berada di sebelah pembangkang atau kerajaan, tetapi Ahmad Said hanya dilihat tidak menyokong Menteri Besar," katanya.

"Sekiranya Ahmad Said keluar Umno dan menjadi Adun Bebas, 17 kerusi yang kini dimiliki BN akan menjadi 16 manakala bakinya 15 pembangkang dan satu bebas.

"Apabila kedudukan seri, undi Yang Dipertua DUN boleh dikira (untuk mementukan) dan kerusi akan menjadi 17-16," katanya.

Namun, Hamdan mengingatkan bahawa keadaan sebaliknya boleh berlaku jika ada Adun BN yang lain turut keluar parti dan menjadi anggota bebas serta menyebelahi pembangkang.

Beliau berkata jika keadaan ini berlaku, jalan terbaik untuk Ahmad Razif keluar daripada permasalahan ini adalah memohon untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan pilihan raya negeri diadakan.


"Tapi saya lihat dalam situasi sekarang, kedua-dua pihak BN dan pembangkang tidak akan mengambil risiko untuk pilihan raya negeri diadakan sebab kedua-duanya tiada kekuatan dan berhadapan isu-isu tersendiri," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...