TERKINI :

Friday, March 25, 2016

Umno Kedah didakwa terdesak kekal kemenangan

Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung

ALOR SETAR - Umno Kedah didakwa terdesak mahu mengekalkan kemenangan di Kedah pada PRU14 apabila mengumumkan habuan RM3.78 juta kepada semua sayap dan 15 Umno bahagian, yang disifatkan sebagai pancing undi.

Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, pihaknya tidak terkejut dengan pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Sabtu lalu, yang memperuntukkan RM315,000 sebulan dalam melancarkan gerak kerja parti itu termasuk merancang strategi berkesan berdepan PRU14.

“Begitu besar dana untuk persiapan PRU14? Ini menunjukkan wujud perasaan takut dan terdesak kepimpinan Umno Kedah kemungkinan Kedah akan jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum selepas penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Umno Kedah melalui kaedah tidak demokratik,” katanya.

Bagaimana pun, Ahli Parlimen Alor Setar itu mempersoal tindakan Ahmad Bashah selaku Pengerusi Umno Kedah yang merahsiakan sumber dana berkenaan.

“Beliau enggan dedahkan dari mana dana akan diperoleh, yang disebut daripada jumlah itu, setiap bahagian akan menerima RM10,000 setiap bulan, sayap Wanita (RM5,000), Pemuda dan Puteri masing-masing menerima RM3,000,” katanya, yang membidas tindakan Ahmad Bashah terlalu berahsia mengenai sumber dana itu.

“Adakah ini melibatkan dari sumber yang tidak sah? Saya percaya rakyat Kedah akan melihat tindakan menghabiskan berjuta-juta wang kepada ahli parti sebagai membeli undi dan kesetiaan dalam perang proksi berterusan oleh penyokong pro-Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Hsiao Leung berkata, perpecahan dalam Umno Kedah dan kehilangan penyokong Umno tegar khususnya kini lebih serius selepas Tun Dr Mahathir meninggalkan Umno dan menyertai Deklarasi Rakyat yang menggesa peletakan jawatan Najib susulan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion.

“Walaupun Umno Kedah negeri pertama secara terbuka mengisytiharkan agihan wang tunai kepada bahagian, saya percaya berjuta-juta lagi dijanjikan untuk semua 191 bahagian Umno seluruh negara, khususnya negeri tumpuan seperti Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...