TERKINI :

Friday, March 18, 2016

Timb. Menteri Pengangkutan berbohong atau mengelirukan dewan rakyat


Pagi ini Khamis 17 Mac 2016 di Dewan Rakyat semasa menjawap soalan nombor 1 bagi sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi telah mengelirukan Dewan atau secara tidak langsung berbohong.

Ahli Parlimen Pokok Sena Dato' Haji Mahfuz Omar dalam pertanyaan tambahannya mencadangkan agar Kementerian memansuhkan hukuman denda bagi kesalahan trafik dan digantikan dengan sistem mata dimerit yang akan dilaksanakan semula. Alasan Pokok Sena ialah jika pesalah trafik didenda di Mahkamah atau membayar kompaun, mereka juga turut dipotong mata dimerit yang mana ianya adalah hukuman berganda yang tidak sepatutnya berlaku. Sudahlah membayar kompaun dan denda, mata dimerit juga dipotong. Ini jelas menunjukkan Kerajaan masih mahu mengutip duit daripada kesalahan lalulintas. Jika benar hukuman untuk mendidik, cukup dengan perlaksanaan sistem dimerit.

Menjawap soalan tambahan Pokok Sena, Timbalan Menteri berkata bahawa mengikut sistem dimerit yang lama, ianya tidak adil kerana yang mampu membayar denda atau kompaun akan membayar dan mata dimerit tidak dipotong tetapi dalam sistem dimerit baru, walau pun seseorang membayar kompaun, mata dimeritnya tetap dipotong. Ini adalah fakta yang salah dan mengelirukan Dewan.

Peraturan-Peraturan Kenderaan Motor (Mata Dimerit) 1997 melalui Peraturan 4 menyatakan mana-mana pemegang lesen yang disabitkan kesalahan di Mahkamah atau membayar kompaun di bawah Seksyen 120 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipotong mata dimerit.

"(1) The demerit points as set out in the Schedule shall be awarded to a holder of a driving licence who has been convicted of a scheduled offence or has paid the penalty as prescribed under section 120 of the Act for the offence."

Adalah jelas bahawa di dalam sistem dimerit yang lama tahun 1997, pemegang lesen akan dipotong mata dimerit dalam dua keadaan iaitu jika disabitkan kesalahan di mahkamah atau jika membayar kompaun.

Justeru jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan bahawa jika membayar kompaun tidak dipotong mata dimerit adalah salah dan membohongi Dewan.

Saya bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena bahawa perlaksanaan sistem mata dimerit bersesama dengan kompaun dan hukuman denda di Mahkamah akan lebih membebankan pengguna.

Apabila seseorang disaman, mereka boleh memilih samada membayar kompaun atau hadir ke Mahkamah samada untuk mengaku salah atau dibicarakan. Jika membayar kompaun, ianya bermaksud mereka telah dihukum dengan jumlah kompaun. Jika disabitkan kesalahan di Mahkamah, mereka akan diperintahkan membayar denda oleh Mahkamah. Ianya sudah merupakan hukuman. Sekarang mata dimerit pula dipotong di bawah Peraturan lain yang juga adalah suatu hukuman. Berapa hukuman yang hendak dikenakan bagi satu kesalahan?

Saya merasakan adalah lebih baik dan lebih mesra sekiranya Kerajaan hanya menguatkuasakan sistem dimerit dan memansuhkan hukuman denda dan menggantikan dengan khidmat sosial/masyarakat bagi pesalah trafik atau kursus pemulihan bagi pesalah tegar. Ini lebih mendidik daripada kononnya mendidik tetapi memerah duit rakyat melalui denda dan kompaun.

Memetik jawapan Timbalan Menteri, hukuman denda kewangan hanya berkesan kepada yang kurang berada tetapi tidak pada golongan berada/kaya. Justeru hukuman berganda melibatkan kewangan dan mata dimerit lebih membebankan golongan tidak berada. Oleh yang demikian hasrat mendidik tidak akan tercapai malah akan menimbulkan masalah lain yang lebih teruk.

ZULHAZMI SHARIFF.
Pengerusi Sekretariat Protes AES (ProtAES)
17 MAC 2016
SUMBER KLIK SINI

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...