TERKINI :

Saturday, March 19, 2016

SPRM P Pinang terima aduan berkaitan pembelian rumah Guan Eng


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini menerima aduan berhubung isu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membeli rumah jenis banglo pada harga rendah daripada harga pasaran.

SPRM dalam satu kenyataan berkata keterangan pengadu turut dirakam berhubung isu pembelian rumah terbabit yang beralamat di No. 25, Jalan Pinhorn, Pulau Pinang.

"SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berkaitan pembelian rumah ini merupakan pendedahan baharu dan SPRM tidak pernah membuka fail sebelum ini.

"Siasatan SPRM sebelum ini hanya berkaitan penyewaan rumah berkenaan dan bukan pembelian," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, SPRM memberi jaminan akan menyiasat setiap aduan dan maklumat yang ada unsur rasuah tanpa pilih kasih.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan Lim didakwa membeli rumah di Jalan Pinhorn, Georgetown di Pulau Pinang dengan harga yang lebih rendah berbanding nilai harga pasaran semasa.

Semalam, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Datuk Shabudin Yahaya yang juga anggota Parlimen Tasek Gelugor meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta (JPPH) untuk membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta yang dibeli oleh Lim, sedangkan nilai semasa rumah tersebut dikatakan lebih RM3 juta.

Lim hari ini mendakwa transaksi pembelian rumahnya di Jalan Pinhorn yang berharga RM2.8 juta itu dibuat secara rela hati antara pembeli dan penjual tanpa sebarang paksaan.

Katanya transaksi itu berasaskan kesanggupan secara bebas dan rela hati di antara beliau dan penjual yang membawa kepada rumah jenis banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn yang berusia 30 tahun itu dibeli dengan harga berkenaan.

- Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...