TERKINI :

Thursday, March 31, 2016

Setahun GST: Kita makin senang atau susah?

 Oleh: Shazni Munir Mohd Ithnin

Genap setahun pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April ini. Belanjawan 2016 mencatatkan jumlah ‘pemerasan’ kerajaan daripada kantung poket rakyat keseluruhannya sebanyak RM27 billion. Jangkaan kutipan untuk tahun ini menurut Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka melonjak hingga RM39 billion. Luar biasa! Bila jangkaannya meningkat, bermakna makin besar jumlah cukai yang sedang dibayar rakyat, berkadar langsung dengan pertambahan jenis barangan dan perkhidmatan yang sedang dicukaikan.

Logik fikiran kita, apabila setahun telah dikorbankan segala bentuk keselesaan hidup, taraf hidup kita sepatutnya semakin baik. Lebih RM30 billion yang telah dikutip dan jangkaan RM39 billion yang sedang dikutip sepatutnya mampu menjana kehidupan lebih baik untuk rakyat. Seharusnya kita pada hari ini telah mampu merancang perbelanjaan keluarga dengan lapang dada dan tidak sesak kepala. Sewaan rumah yang murah, barang gantian kereta dan motor yang murah, harga makanan di warung-warung yang murah, pekerjaan serta gaji yang setimpal dengan pengorbanan yang telah dilakukan setahun lalu.

Malangnya kita pada hari ini tidak sebagaimana begitu. Kesusahan hidup setahun yang lalu masih kita jalani pada hari ini. Bahkan lebih buruk. Jika setahun lalu jutaan anak muda pelbagai kaum tidak mempunyai peluang pekerjaan, hari ini berduyun-duyun anak muda pelbagai sektor dibuang kerja. Perniagaan-perniagaan bermodal sederhana seperti jualan makanan di pinggir jalan, jualan burger di pasar-pasar malam dan jualan air sejuk pelbagai perisa di tengah-tengah terik mentari bukan lagi pilihan yang mudah rentetan barang-barang mentah yang kian mencanak tinggi harganya.

Tinjaulah ke pasaraya-pasaraya kunjungan ramai. Usahkan hari biasa. Hari promosi dan potongan harga yang ‘gila-gila’ pun dibuat bena tak bena sahaja. Nafsu mahu berbelanja dipendam jauh ke lubuk hati disebabkan poket yang sedia tidak tebal semakin menipis. Mengharapkan pekerjaan lebih baik sudah jauh ditinggalkan ke belakang. Masih bekerja dan tidak dibuang sudah dikira cukup beruntung. Perniagaan kecil-kecilan sebagai menyahut seruan ‪#‎2kerja‬ Ahmad Maslan pun tidak ke mana. Barang yang dijual tiada pembeli. Kos jualan dan pusingan modal pula semakin meningkat dan tidak terkawal.

Lantas apa lagi yang boleh dilakukan? Seakan-akan kemampuan negara untuk pulih telah sampai ke siling. Kesengsaraan rakyat hampir sempurna sifatnya. Semua jalan keluar yang mampu dibuat tidak menghasilkan kesan yang diharapkan. Jika GST 6% pun tidak mampu memulihara ekonomi semasa, berapa peratus lagi GST yang diperlukan untuk menampung hutang negara yang kian rabak? Atau mahu diperkenalkan cukai edisi baru yang lebih efisyen dan banyak jangkauan dapatannya?

Hakikatnya rakyat hanya perlu lakukan 2 perkara sahaja dan keupayaan negara untuk pulih akan kembali bernyawa. Menurunkan suami Rosmah dan mengalahkan Barisan Nasional. Kerja yang sukar tetapi tidak mustahil. Syaratnya? 29 juta rakyat nekad dan bersatu hati. Dengan politik rimba yang tidak beretika dan rasuah merajalela, hampir mustahil untuk Dewan Rakyat ‘membenarkan’ suami Rosmah diturunkan dan pilihanraya ‘membenarkan’ untuk Barisan Nasional dikalahkan. Justeru, berhenti jadi Mat Jenin.

Untuk mengalahkan politik biadab dan tidak bertamadun perlu melalui proses yang juga ‘kurang ajar’. Zaman sopan santun serasanya telah lama berlalu. Usah sebut laluan rasmi demokrasi jika instrumen demokrasi itu sendiri telah sedia menjadi senjata mereka yang berkuasa. Namakan sahaja, polis, SPR, Peguam Negara dan banyak lagi, laluan mana masih dipercayai rakyat? Kalau pun tidak semua orang dalam institusi-institusi berkenaan telah hilang maruahnya, orang-orang besar pastinya telah ‘dipegang telor’ oleh si penerima derma RM2.6 billion.

Lantas bagaimana? Takkan jalanraya sekali lagi? Jawapannya, ya dan tidak.
Ya, jika rakyat nekad berhari-hari di jalanraya. Tidak, jika berhimpun setengah hari kemudiannya balik makan kuaci. Pemandu-pemandu teksi telah bermula semalam. Riak-riak yang membawa pada gelombang besar ini harus terus. Waktu untuk berserah pada orang lain telah berlalu. Setiap warganegara harus bertanggungjawab menentukan destinasi akhir watan ini. Membiarkan suami Rosmah terus berkuasa samalah seperti membunuh generasi mendatang perlahan-lahan.

Kita ternanti-nanti demonstrasi besar yang digerakkan rakyat secara ‘genuine’. Kita masih percaya bahawa beberapa orang dalam negara mungkin boleh dibeli, tapi tidak semua rakyat mampu dikaburi mata dan dibutakan hati. Masih berbaki ramai insan-insan baik dalam negara yang belum keluar dan beraksi. Jika seluruhnya telah mengambil sikap dan tindakan, ketika itu tidak banyak yang boleh dilakukan pengerusi syarikat bernama Wan Em Di Bi.

Sementara menunggu gelombang besar-besaran rakyat, mungkin boleh regangkan badan dahulu dalam Himpunan ‪#‎UndurNajib‬ ‪#‎MansuhGST‬ pada 2 April ini. Anggaplah himpunan ini sebagai pemanas badan pada kerja-kerja ‘kurang ajar’ yang telah dan sedang disusun. Bawa seluruh ahli keluarga keluar berhujung minggu di Sogo. Pastikan jasad dan jiwa hadir tepat jam 2 petang pada tanggal tersebut. Ayuh, kejapkan hayunan langkah!

---------------------------

Shazni Munir Mohd Ithnin merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional. Gemar ‘berkicau’ di laman sosial twitter @shazni_munir

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...