TERKINI :

Saturday, March 5, 2016

Selepas 2 jam, Kedah akhirnya singkir Kelantan


Misi Kelantan untuk membalas dendam ternyata gagal selepas tewas 5-4 dalam penentuan penalti ketika bertemu Kedah pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA, sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Darul Aman itu, Kedah terpaksa membawa perlawanan ke saingan penalti selepas keputusan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan sebelum menempah slot ke suku akhir.

Tempoh perlawanan selama dua jam pastinya menguji pelbagai aspek daya tahan pemain, malah aksi penuh emosi, agresif dan saling berbalas serangan mewarnai persembahan kedua-dua pasukan.

Jika pada perlawanan Liga Super Selasa lalu Kedah berjaya mengatasi Kelantan, skuad Helang Merah membuktikan momentum kebangkitan mereka dengan mengatasi naib juara Piala FA musim lalu.

Pasukan tuan rumah tampil dengan taktikal bergaya apabila banyak mempraktikkan hantaran pendek, malah beberapa peluang diatur melalui gerakan satu-dua.

Bagaimanapun, anak didik Tan Cheng Hoe gagal menyudahkan peluang-peluang yang terhidang sekitar separuh masa pertama.

Asakan demi asakan ke kawasan gawang Kelantan berjaya dipatahkan barisan pemain pertahanan mereka.

Walaupun Kedah menguasai permainan, pasukan pelawat terlebih dahulu berjaya menyempurnakan peluang melalui jaringan pemain import Jonathan McKain pada minit ke-34.

Bersambung separuh masa kedua, permainan bertambah rancak khususnya selepas Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-49.

JDT, PDRM turut ke suku akhir

Kedah terus menguasai gelanggang mereka, manakala rentak permainan Kelantan dilihat lebih banyak bertahan.

Prestasi skuad Pamoga Qu Puteh juga nampaknya belum benar-benar bangkit daripada kemerosotan aksi-aksi sebelum ini.

Malah, percaturan di posisi tengah mereka dilihat sedikit lompang dan lebih banyak diisi dengan hantaran jauh dan posisi sayap.

Perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan itu penuh dengan debaran, malah penentuan kalah mati melalui sepakan penalti juga terpaksa menunggu sepakan terakhir pemain Kelantan yang gagal disempurnakan Khairul Izuan.

Sementara itu, dua perlawanan yang turut berlangsung malam ini membabitkan JDT berjaya melangkah saingan suku akhir dengan menewaskan NS Matrix 4-1.

Selain itu, keputusan mengejut berlaku di Stadium Hang jebat, Melaka apabila PDRM mengatasi Selangor dengan keputusan 2-1.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...