TERKINI :

Saturday, March 26, 2016

Saman mungkir kewajipan fidusiari Ke Atas Mohd Najib

A Kadir Jasin


MUTAKHIR, 24 Mac - Laporan yang mengatakan Tengku Razaleigh Hamzah telah menandatangani "Deklarasi Kelantan" yang menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Mohd Najib, sekali gus memeranjatkan dan tidak memeranjatkan.

Terbaik yang boleh diharapkan adalah ia satu taktik licik oleh Tengku Razaleigh untuk menjatuhkan Mohd Najib. Terburuk, ia satu pengkhianatan mutakhir oleh Tengku Razaleigh. Masa akan menentukan.

Yang ramai orang tahu adalah Mohd Najib banyak meluahkan perasaan kepada Tengku Razaleigh manakala Tengku Razaleigh pula mempunyai keyakinan ramai ahli Dewan Rakyat serta rakyat jelata dalam usaha memaksa pengunduran Mohd Najib.

Mohd Najib tahu kalau ada orang yang boleh menjatuhkan beliau melalui proses Parlimen orang itu tidak lain dan tidak bukan ialah Tengku Razaleigh.

Pada suatu ketika, beberapa bulan lalu, Tengku Razaleigh dikatakan telah mendapat akuan berkanun (SD) daripada majoriti ahli Dewan Rakyat bagi menjatuhkan Mohd Najib melalui undi tidak percaya.

Tetapi melalui pemberian habuan, pangkat dan tekanan (coercion) Mohd Najib nampaknya telah berjaya mengepung ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional.

Politik apa yang sedang dimainkan oleh gabungan Mohd Najib-Tengku Razaleigh ini sukar didalami.

Yang jelas adalah, bagi Mohd Najib kalau masih ada orang yang boleh menyelamatkan beliau, orang itu ialah Tengku Razaleigh.

Posting Asal

TIGA orang awam hari ini memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone), Mohd Najib Abdul Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

[Tandatangani Deklarasi Rakyat di sini]
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Mereka menuduh beliau mungkir kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasans (tort misfeasance) dalam kedudukan beliau sebagai penjawat awam.

Mereka adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan (Datuk Seri) Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin.

Najib ialah defendan tunggal dalam tuntutan itu. (Lanjut di sini).

Mereka memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Mohd Najib melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dengan menyalah-gunakan kedudukannya.

Dalam bahasa yang mudah, fidusiari (bahasa Inggeris fiduciary) adalah amanah, khususnya yang melibatkan perhubungan di antara pemegang amanah dengan benefisiari (pihak yang mendapat faedah).

Dalam konteks ini, Mohd Najib adalah pemegang amanah manakala plaintif adalah benefisiari. Dalam kaitan yang lebih luas mereka bertiga mewakili semua pihak yang sepatutnya mendapat faedah daripada kedudukan Mohd Najib sebagai penjawat awam nombor satu negara.

Tort adalah salah laku yang boleh dikenakan tindakan sivil seperti ganti rugi.

Fakta saman:

1. Mohd Najib, sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dengan niat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran US$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadinya.

2. Mereka juga memohon perisytiharan yang sama di mana Mohd Najib menyalahgunakan kedudukan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Anina dan Khairuddin.

3. Mereka juga menuntut RM2.6 bilion ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.

Dua jumlah ini bersamaan dengan amaun yang masuk ke dalam akaun peribadi Mohd Najib di AmBank dan amaun yang disyaki dialihkan dari SRC International Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan, ke akaun peribadi beliau.

Implikasi kes ini:

i. Menguji sejauh mana rakyat jelata boleh mengambil tindakan undang-undang/mahkamah ke atas seorang penjawat awam politik.

ii. Menguji kebebasan dan sikap sama rata sistem kehakiman Negara.

iii. Menguji sejauh mana tindak-tanduk seorang Perdana Menteri “kebal” daripada tindakan undang-undang.

iv. Membuka Perlembagaan dan tatacara pentadbiran awam kepada analisis dan interpretasi.

v. Jikalau mahkamah bersetuju mendengar kes ini, plaintif boleh mencuba memanggil seramai mungkin saksi, termasuk wartawan asing yang mendakwa penyelewengan oleh Mohd Najib.

Saman awam ini juga boleh dilihat dalam konteks Deklarasi Rakyat yang mahu Mohd Najib disingkirkan sebagai Perdana Menteri. Ketiga-tiga plaintif adalah penandatangan deklarasi tersebut 4 Mac lalu.

Saya tidak menjangkakan jentera propaganda dan perang saraf Mohd Najib berupaya memutarbelitkan kes ini kerana mereka sendiri sedang bergaduh semasa sendiri mengenai siapa yang lebih setia dan berjasa kepada beliau dan siapa yang menjadi musang berbulu ayam.

Wallahuaklam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...