TERKINI :

Tuesday, March 15, 2016

Sahkah kemenangan calon BN, belanja lebih RM1.5 bilion dalam PRU13?

 
KUALA LUMPUR, 10 MAC: Barisan Nasional didakwa membelanjakan lebih RM1.5 bilion untuk pilihanraya umum ke-13 lalu, iaitu melebihi had dan menjadi kesalahan kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
Peguam, Zulhazmi Shariff, berkata mengikut seksyen 19 (1) akta berkenaan, calon bagi setiap kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) atau ejennya hanya dibenarkan berbelanja tidak melebihi RM200,000 manakala kerusi Dewan Negeri (DUN) terhad kepada RM100,000.
Dengan itu, beliau menjelaskan, oleh kerana Malaysia mempunyai 222 kerusi Parlimen, had untuk berbelanja untuk kesemua kerusi tersebut tidak boleh melebihi RM44.4 juta manakala kesemua 576 kerusi DUN tidak boleh melebihi RM57.6 juta, iaitu had jumlah keseluruhan adalah RM102 juta sahaja.
“Jumlah maksimum keseluruhan tersebut amat jauh dengan jumlah RM1.5 bilion yang dibelanjakan oleh BN dalam PRU13 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga ahli DAP berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang dikatakan menyebut bahawa Datuk Seri Najib Razak pernah memberitahu ketua-ketua perhubungan UMNO negeri tentang BN membelanjakan RM1.5 bilion pada PRU lalu.
“Perkara pokoknya ialah penggunaan lebih RM1.5 bilion di dalam PRU13 yang lalu,” ujarnya.
Beliau bertegas bahawa dengan pengakuan Mukhriz, dan seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron yang juga Ketua Menteri Melaka, tentang RM1.5 sebagai belanja pilihanraya BN, ia bererti kesemua calon BN yang bertanding pada PRU lalu menyalahi undang-undang dan boleh didakwa di mahkamah.
“Fakta tersebut secara langsung menunjukkan bahawa BN tidak menghormati undang-undang negara dan telah menipu demi kuasa.
“Adakah ini bermakna kita masih lagi boleh menerima dan masih boleh membiarkan Najib berkuasa sebagai Perdana Menteri?
“Adakah ini bermaksud kita masih lagi boleh memberikan masa kepada Najib untuk menjadi Perdana Menteri sehingga tamat tempohnya?” Katanya. – Roketkini.com

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...