TERKINI :

Friday, March 25, 2016

Sabitan rasuah bekas Pengurus Besar Mimos kekal

mahkamah
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi mengekalkan sabitan dan hukuman bekas Pengurus Besar Institut Mikroelektronik Sistem Malaysia (Mimos) Berhad, Khairuddin Khalid atas tuduhan memperoleh suapan lebih RM91,000, 14 tahun lalu.

Hakim, Datuk Azman Abdullah bagaimanapun membenarkan pengurangan hukuman penjara tujuh kepada lima tahun dan denda RM458,325 dikekalkan.

Dalam keputusannya, Azman berkata, keputusan bersalah oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah selamat dikekalkan dan rayuan ditolak atas sabitan.

"Selepas mengambil kira penghakiman Mahkamah Sesyen dan mengambil kira mitigasi serta asas kepada pemberatan hukuman, meneliti fakta kes, meneliti urusan dan komisen yang dilihat bercampur kepada tertuduh, kepentingan syarikat dan pihak lain, mengambil kira rasuah perlu dibanteras kerana ia akan merosakkan syarikat dan punca kepada syarikat mengalami kerugian.

"Bukan sahaja kesilapan pelaburan, tetapi integriti juga memainkan peranan naik turunnya syarikat tersebut, mahkamah dengan ini membenarkan rayuan lima tahun penjara dan denda dikekalkan," katanya.

Khairuddin didapati bersalah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri suapan berjumlah RM91,665 daripada Pengerusi Eksekutif Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd, Muhammad Khalid Ismail sebagai upah untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwalnya iaitu melabur dana pelaburan Mimos.

Kesalahan itu di pejabat Corporate Eight Asset Management Sdn Bhd, Suite 17.3-17.4A, Tingkat 17, Menara Weld, 76, Jalan Raja Chulan di sini, pada 23 Mei 2001.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...