TERKINI :

Friday, March 11, 2016

Rakyat sokong hukuman sebat secara terbuka bagi pesalah zina

Tinjauan Malaysiakini berhubung saranan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mahmood agar kerajaan negeri itu mempertimbangkan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pesalah zina, disambut baik sebahagian besar warga kota yang ditemui.

Menurut mereka, tindakan itu sesuatu yang positif kerana mampu menghindarkan perbuatan mungkar berkenaan serta mampu menginsafkan masyarakat, khususnya umat Islam.

Bagi seorang guru, Wan Rahim Wan Ali, 52, saranan itu perlu dilaksanakan kerana ia adalah hukum Allah apatah lagi jika pelaksanaannya dibuat bagi tujuan mengurangkan jenayah yang semakin berleluasa.

“Saya menyokong saranan tersebut sebab hukum hudud ini perlu kita laksanakan kerana ia hukum Allah. Jadi, untuk kita mencegah pesalah zina dari terus merebak menjadi virus, kita perlu lakukan hukum tersebut dan memang wajiblah ia dilaksanakan.

“Kalau kita laksanakan hukum tersebut di khalayak ramai, tujuannya adalah untuk kita mencegah daripada orang ramai melakukan kesalahan tersebut, sekiranya salah seorang daripada kita melakukan kesalahan itu dan menerima hukuman dikhalayak ramai, ia akan membangkitkan rasa

gerun pada orang lain, sekaligus takut untuk melakukan jenayah itu,” katanya.

Wan Rahim juga mahu pelaksanaan hukuman sebat itu dijalankan terhadap pesalah zina yang pasangannya adalah bukan Islam.

“Tetapi bagi pesalah zina yang dilakukan pasangan Islam dengan bukan Islam mereka juga perlu mendapat hukuman yang setimpal namun mereka perlu dihukum di Mahkamah Jenayah Sivil,” kata Wan Rahim.

Bagi Mohd Shahrizal Mohd Saad, 28, pula saranan pelaksanaan hukuman itu bagus kerana ia akan dapat mengurangkan perbuatan mungkar tersebut.

Malah, menurut Mohd Shahrizal (gambar) yang juga seorang jurutera pelaksanaan hukuman seumpama itu dilihat lebih berkesan berbanding tindakan undang-undang sedia ada.

“Saya rasa pelaksanaan tersebut sangat bagus bagi memberi pengajaran kepada semua dan dari situ kita dapat tahulah apa perkara yang kita perlu buat dan apa yang tidak boleh dibuat.

“Hukuman setimpal juga perlu dilaksanakan kepada mana-mana pesalah zina yang pasangannya bukan Islam.

“Pelaksanaan hukuman itu juga saya lihat akan memberi kesan yang lebih cepat berbanding hukuman sedia ada, sekaligus ia akan membantu mengurangkan lagi jenayah tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Pendapat Shahrizal turut dikongsi oleh Shahmimi Abdul Aziz, 30 yang berkata hukuman sebat tersebut mampu mengurangkan kebimbangan tentang peningkatan kes zina.

“Pelaksanaan hukuman tersebut sangat wajar kerana sekarang ini pun pelbagai kejadian salah laku jenayah tersebut. Jadi, sangat wajarlah ia dilaksanakan,” katanya.

Shamimi yang juga seorang peniaga itu turut menyokong jika usaha tersebut dilaksanakan di seluruh negara.

“Setiap negeri perlu melaksanakannya. Begitu juga penguatkuasaan kepada pasangan yang bukan Islam, hukuman tersebut perlu dibuat sama adil," katanya.

Bagi Saliza Abdul Aziz, 42, seorang surirumah, pelaksanaan hukuman sebat itu jika dilaksanakan akan membuatkan masyarakat lebih berhati-hati sebelum melakukan zina.

“Ia juga membuatkan orang ramai lebih berhati-hati serta terus menjalinkan hubungan yang halal. Jadi, tak perlu berzina.

“Bagi pasangan zina bukan Islam juga mereka perlu dikenakan hukuman yang setimpal dengan yang diterima oleh orang Islam,” kata Saliza ketika ditemui Malaysiakini.

Berbeza pula dengan Abdul Rahim Abdul Manaf, 60, yang mahu pelaksanaan hukuman sebat dikaji dengan lebih lanjut.

“Pelaksanaan hukuman tersebut perlu dipertimbangkan lagi dengan mendapat pandangan daripada ulama yang lain sebelum ia dilaksanakan,” kata ahli perniagaan itu.

Begitu juga dengan Nik Amir Abdullah, 36, seorang pekerja swasta.

Menurut Nik Amir, jika benar kerajaan Kelantan mahu melaksanakan hukuman itu maka adalah sewajarnya bagi pihak berkuasa negeri menjalankannya seperti yang ditetapkan oleh hukum Allah.

“Tak setuju, seeloknya pesalah jenayah terbabit perlu disebat sehingga 100 sebatan seperti mana yang telah ditetapkan dalam hukum hudud.

“Bagaimanapun buat masa sekarang ini itu saja undang-undang yang ada saya terpaksa bersetuju ia dilaksanakan secara terbuka.

“Tapi apa yang pasti pelaksanaan hukum tersebut mampu menakutkan mana-mana pihak yang cuba melakukannya,” kata Nik Amir.

Beliau juga menyarankan agar pelaksanaan hukuman sebat itu dibuat di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Tapi adalah lebih baik ia dijalankan di pasar-pasar awam sebab di sana semua jenis peringkat umur dan orang ada, kalau dibuat di masjid bukan semua orang khususnya golongan muda akan ke sana,” katanya.

Rabu lalu, Hassan yang juga ADUN Tawang dari PAS, ketika menyarankan kerajaan negeri mempertimbangkan hukuman sebat di khalayak ramai, mengesyorkan hukuman itu dilakukan pada hari Jumaat dan dilaksanakan di hadapan masjid.

Saranan tersebut bagaimanapun mendapat tentangan daripada pergerakan Wanita MCA.

Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie membidas Dewan Ulama PAS Kelantan kerana menyarankan cadangan sebatan secara terbuka terhadap pesalah zina di negeri itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...