TERKINI :

Tuesday, March 15, 2016

PRU-14: PAS mahu ubah sistem, bukan sekadar jatuhkan Najib

PETALING JAYA: Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, PAS ingin membawa agenda yang lebih besar pada Pilihanraya Umum ke-14 iaitu untuk mengubah sistem sedia ada, bukan sekadar menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyangkal kenyataan Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong yang menganggap PAS dan ‘jalur ketiga’ tidak akan memainkan faktor penting dalam PRU ke-14, memandangkan ia adalah pertembungan antara pihak pro-Najib dengan anti-Najib.

“Faktornya bukan Najib semata-mata, tetapi sistem urus tadbir negara yang tidak memberi jaminan mana-mana pihak akan mentadbir dengan telus.

“Mungkin Chin Tong hanya nampak pertembungan pro-Najib dan anti-Najib, tetapi PAS mahu membawa perubahan sistem secara keseluruhan,” katanya lagi ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Zuhdi mendakwa sistem sedia ada membuka ruang yang luas untuk mana-mana pihak menyalahgunakan kuasa, selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghakis unsur pemisahan kuasa serta semak dan imbang ketika mentadbir negara.

Menjadikan kerajaan Pulau Pinang sebagai contoh, beliau menyatakan betapa pentingnya kewujudan ‘jalur ketiga’ dalam memastikan kerajaan sentiasa membuat keputusan yang berpihak kepada rakyat.

“Misalnya projek penambakan laut di Pulau Pinang, walaupun dibantah banyak NGO dan malah Adun pihak kerajaan sendiri, ia tetap diteruskan.

Tetapi dengan adanya jalur ketiga, katanya lagi, parti yang akan membentuk kerajaan perlu bergabung dengan pihak tersebut dan tidak lagi boleh membuat keputusan secara sendiri.

“Inilah yang PAS cuba bawakan. Apabila rakyat dapat memahami perkara ini, mereka akan melihat hal yang lebih besar dan tidak lagi terperangkap dengan sentimen anti-Najib semata,” katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...