TERKINI :

Sunday, March 6, 2016

Piala FA - 'Dream Final' tidak jadi kenyataan

 
Pagi saya hari ini berbeza daripada kebiasaan. Jarang sekali saya menonton televisyen pada waktu pagi di hujung minggu kerana kebiasaannya saya membawa keluarga beriadah dan bersarapan pagi jika cuti.
Tapi, hari ini saya terpaksa 'skip' rutin itu, semuanya gara-gara undian suku akhir Piala FA 2016 yang disiarkan secara langsung dalam sebuah program bual bicara di saluran televisyen swasta pada pukul 9.30 pagi.

Perasaan sejak malam tadi tertanya-tanya apakah undian yang akan berlaku pagi ini. Tertanya bukan apa, kami wartawan di bilik berita Nadi Arena begitu ingin tahu di manakah lokasi seterusnya akan dihantar oleh bos kami selepas ini.

Kemaraan empat pasukan Liga Perdana ke peringkat suku akhir memang di luar jangkaan terutama PKNS FC dan Sime Darby FC apabila kedua-dua pasukan itu menyingkirkan skuad Liga Super, Felda United dan Pahang, malam tadi.

Kejutan turut berlaku apabila juara Piala Malaysia 2015 Selangor rebah di tangan PDRM.

Undian suku akhir membabitkan lapan pasukan diketuai Johor Darul Takzim, Kedah, PDRM, Perak, Kuala Lumpur, PKNS FC, Sabah dan Sime Darby.

Melihat kepada lapan pasukan itu, saya percaya ramai mahu JDT dan Kedah berentap di pentas akhir sebagai 'dream final' Piala FA 2016.

Namun, ia tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan itu akan bertemu di separuh akhir jika berjaya menewaskan lawan masing-masing di suku akhir setelah JDT diundi menentang PDRM dan Kedah bertemu Sabah.

Saya juga melihat JDT dan Kedah sebagai dua pasukan terbaik di kalangan finalis suku akhir kali ini kerana kedua-dua pasukan itu memiliki corak permainan berkualiti berdasarkan persembahan semasa mereka.

Ia ibarat buku bertemu ruas dan pastinya menghadirkan suasana yang hebat dan menarik jika 'dream final' itu jadi kenyataan.

Apa pun, undian sudah dibuat dan kini peluang terbentang luas buat pasukan bukan pilihan dalam satu lagi kedudukan untuk mengukir sejarah tersendiri membabitkan pasukan Sime Darby FC, PKNS FC, Kuala Lumpur dan Perak.

Apakah ia akan menjadi aksi anti-klimaks?

Sama-sama kita nantikan final Piala FA yang dijadual berlangsung pada 14 Mei ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...