TERKINI :

Friday, March 11, 2016

Petisyen untuk keluar potret alma mater Najib lepasi 2,000 tandatangan

Satu petisyen dalam talian menggesa untuk mengeluarkan potret Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari dinding alma mater Universiti Nottingham di UK, telah mengumpul lebih 2,000 tandatangan, sejurus sebelum tarikh akhirnya.

Petisyen itu yang bermula pada 8 Mac, menyasarkan sekurang-kurangnya 100 tandatangan untuk menyokong usul untuk dikemukakan kepada Persatuan Pelajar Malaysia di Universiti Nottingham.

"Kami sedar bahawa usul itu mungkin tidak diluluskan untuk dibahaskan, oleh itu petisyen ini memerlukan lebih 100 tandatangan untuk menunjukkan kepada persatuan itu bahawa isu ini layak dipertimbangkan di AGM," demikian menurut petisyen itu di Change.org.

Kurang daripada 30 minit sebelum tarikh akhirnya pada jam 11.59 malam, untuk usul itu dikemukakan semalam, petisyen tersebut yang dimulakan oleh Cassandra Hooi, telah mengumpulkan 2,252 tandatangan.

Usul itu menggesa Persatuan Pelajar Malaysia itu melobi untuk mengeluarkan potret Najib setinggi dua meter dari salah sebuah dinding kampus (King Meadow).

Usul itu sebagai tanda protes terhadap dakwaan keengganan Najib untuk menjelaskan dengan memuaskan tentang deposit sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya.

Tindakan tersebut, menurut petisyen itu, mampu menghantar mesej yang kuat kepada perdana menteri bahawa sudah tiba masanya untuk beliau menjawab secara benar dan jelas terhadap dakwaan tersebut.

Jika usul itu, dengan disokong oleh petisyen tersebut, diluluskan, ia akan dibahaskan semasa AGP Persatuan Pelajar Malaysia pada 16 Mac.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...