TERKINI :

Sunday, March 20, 2016

Perkauman, fitnah taktik terakhir BN sekat kemaraan Pakatan Harapan

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) kian kehabisan modal politik dan hanya bergantung kepada isu perkauman dan fitnah bagi menyekat kemaraan Pakatan Harapan ke Putrajaya dengan menjadikan DAP sebagai sasaran utama.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata BN tiada pilihan selain menggunakan taktik terakhir itu kerana penubuhan Pakatan Harapan umpama hari kiamat buat mereka selepas menguburkan Pakatan Rakyat melalui sentimen berkenaan.

“Ini detik bersejarah. Memang BN anggap selamat apabila Pakatan Rakyat berkubur tetapi dengan tertubuhnya Pakatan Harapan, ia kiamat buat BN,” katanya disambut tepuk gemuruh ketika menyampaikan ucaptama di sini, hari ini.

SUFI5939Beliau berkata demikian pada Persidangan Pemimpin Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini. Hadir sama, pemimpin utama ketiga-tiga parti gabungan dan perwakilan mereka.

Apatah lagi, kata Guan Eng, BN dibantu parti yang ‘dulu kawan sekarang lawan’ dipercayai merujuk kepada PAS, untuk menyerang DAP dengan memainkan isu perkauman, menyebar fitnah dan tergamak menghalalkan yang haram.

“Mainkan perkauman, mainkan fitnah, malah sanggup menghalalkan yang haram. IMDB (1Malaysia Development Berhad) bukan lagi skandal, derma RM2.6 bilion bukan lagi skandal. Semua sudah jadi tidak salah,” katanya.

Beliau berkata, DAP difitnah ada hubungan dengan Israel sedangkan tohmahan itu langsung tiada bukti, malah beliau berulang kali menyatakan tidak pernah bertemu mana-mana pemimpin Israel di mana-manapun.

“Ke mana-mana saya pergi, tidak pernah berjumpa pemimpin Israel. Tetapi orang lain yang bertemu mesra, berjabat tangan,” katanya dipercayai merujuk pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Nehantayu.

Katanya, fitnah BN terhadap DAP bukan perkara baru, malah banyak tuduhan tidak berasas dilempar kepadanya selaku Ketua Menteri Pulau Pinang itu termasuk mahu membina kasino sedangkan lesennya hanya boleh dikeluarkan Kerajaan Persekutuan.

“Fitnah tak habis-habis,” katanya yang yakin rakyat semakin menolak BN tetapi kurang keyakinan terhadap Pakatan Harapan berikutan pelbagai fitnah dan masalah dalaman.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Pakatan Harapan perlu menjadi alternatif terbaik dengan menyediakan tatakelola pentadbiran baik dan bebas rasuah, malah ia terbukti melalui pentadbiran cemerlang Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.

“Tanpa GST (cukai barangan dan perkhidmatan), kita (Kerajaan Pulau Pinang) boleh untung dan agih semula hasil kepada rakyat,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...