TERKINI :

Wednesday, March 30, 2016

Pegawai GLC didakwa rasuah RM2.02 juta

TNB-MACC
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dihadap ke Mahkamah Sesyen di sin hari ini kerana didakwa menerima rasuah berjumlah RM2.02 juta.

Tertuduh, Shahanom Uthman didakwa dengan 14 tuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana didakwa menerima rasuah antara 2013 hingga 2014.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima sejumlah wang dan kereta daripada dua ahli perniagaan bernama Ahsan Sabri Pang Abdullah dan Tee Boon Chun antara Disember 2013 hingga 2014.

Tertuduh didakwa menggunakan jawatannya sebagai Ketua Projek dan Perkhidmatan, Malaysia Transformer Manufacturing Sdn Bhd untuk mendapatkan rasuah.

Syarikat itu dimiliki sepenuhnya Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Shahanom didakwa menerima rasuah dalam bentuk wang tunai berjumlah RM1.35 juta daripada Ahsan Sabri dan RM670,000 serta sebuah kereta BWM daripada Boon Chun.

Tertuduh tidak mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan dan minta dibicara.

Jika bersalah dia boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau yang mana lebih tinggi.

Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Aida Adha Abu Bakar manakala tertuduh diwakili Fahmi Abd Moin.

Kes akan disebut semula pada 29 April.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...