TERKINI :

Sunday, March 6, 2016

PAS....Apa Sebenarnya Hala Tuju Kamu ?

oleh Wadah Baru 

Pemerhati politik berpendapat kepimpinan tertinggi PAS perlu menyatakan secara jelas mengenai hala tuju parti itu terutamanya kedudukan dalam Pakatan Rakyat supaya haluan mereka lebih difahami.

Mereka mempersoalkan mengenai perkara itu ekoran wujudnya perbalahan antara PAS dengan parti komponen dalam Pakatan dan pada masa yang sama parti Islam itu masih mahu berada dalam gabungan pembangkang itu, lapor akhbar Sinar Harian hari ini.

"PAS kena nyatakan dasarnya... hala tujunya ke mana. Sebab sekarang ini tidak jelas. Nampak macam ada perbalahan dengan rakan dalam Pakatan tapi dalam masa yang sama nampak bersama-sama dengan Pakatan untuk menyumbang dan sebagainya.

"Jadi sekarang ini apa sebenarnya hala tuju PAS selepas PRU-13 dan menuju ke PRU-14 nanti,” kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dipetik.

Dalam laporan itu menyebut, Mohd Azizuddin berkata terdapat tiga pilihan untuk PAS ambil bagi menjelaskan pendirian mereka iaiatu sama ada bekerjasama dengan BN, supaya BN boleh dimantapkan atau bersama dengan Pakatan dan menegaskan menolak Umno.

"Ataupun PAS mahu ambil jalan ketiga iaitu tidak memilih kedua-duanya (dengan) menjadi parti yang bergerak sendiri tanpa dalam PR dan juga tanpa dalam BN," Azizuddin lagi.

Laporan itu juga memetik Penganalis Geopolitik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohd Fuad Mat Jali bersetuju dengan Mohd Azizuddin dan menegaskan teka-teki PAS hanya boleh dijawab parti tersebut.

'Pakatan longgar'

“Saya rasa masalah PAS untuk kembali bersama Umno atau Umno bersama PAS ini adalah sesuatu yang hanya PAS sahaja boleh jawab. Kerana akhirnya, kalau kita lihat, Pakatan ini adalah satu pakatan yang bukan lemah tapi longgar. Mereka tidak ada ikatan yang kukuh.

"Sebab itu kita lihat mereka tidak boleh ada manifesto yang mantap. Saya kira, PKR dan DAP ini memerlukan undi PAS terutama di kawasan-kawasan Melayu.

"Masalahnya sekarang ini, prinsip dan ideologi PAS tidak selari dengan PKR dan DAP,” Mohd Fuad dilaporkan sebagai berkata.

Dalam laporan itu juga, beliau berkata dalam PAS masih ada kelompok yang tidak mahu bekerjasama dengan Umno, namun sebahagiannya masih ada ruang untuk bersatu dengan Umno.

Mengulas mengenai kerjasama PAS dan Umno di Kelantan, beliau "tidak fikir kerjasama Umno-PAS itu boleh pergi lebih daripada itu sehingga kembali kepada Umno."

"Sebab apa, dalam PAS itu ada puak-puak yang tertentu. Khususnya puak yang dipimpin bawah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang masih kuat lagi penyatuan ini. Tapi, akhirnya ia terpulang kembali kepada pemimpin PAS,” Mohd Daud dalam laporan itu.

Beliau berpendapat apa yang berlaku di Kelantan ketika ini, PAS mengambil pendekatan menerima bantuan daripada sesiapa sahaja yang boleh membantunya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...