TERKINI :

Friday, March 18, 2016

PAS tunggang IKATAN atau IKATAN tunggang PAS..????

Shahbudin Husin, 


Sebagaimana yang diramalkan dalam blog ini semalam, Pas akhirnya memetrai persefahaman dengan Ikatan, parti yang dipimpin oleh bekas menteri, Abdul Kadir Sheikh Fadzir untuk mewujudkan blok ketiga pembangkang di negara ini.

Bagaimanapun, tidak seperti yang disebut oleh Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan sebelum ini, tidak ada penyertaan mana-mana NGO dalam blog baharu itu.

Ini bermakna, blok baharu yang dikatakan kuasa ketiga ini hanya disertai oleh Pas dan Ikatan saja.

Dengan Pas bergabung bersama Ikatan yang tidak diketahui dengan jelas siapa barisan kepimpinan tertingginya serta berapa ramai ahlinya yang berdaftar, persoalan kini ialah siapa tunggang siapa?
Pas tunggang Ikatan atau Ikatan akan tunggang Pas?

Adakah Pas akan bertambah kekuatannya dengan adanya Ikatan bersamanya atau Ikatan yang akan dapat menumpang kekuatan Pas?

Dalam konteks semasa, Ikatan boleh dianggap sebuah parti yang kosong berbanding dengan Pas. Selain siapa barisan kepimpinan dan berapa ramai jumlah ahlinya tidak diketahui umum, di kawasan atau negeri mana kekuatannya bertapak juga masih kabur.

Abdul Kadir sebelum ini adalah Timbalan Presiden Amanah yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau akhirnya keluar daripada Amanah dan menubuhkan Ikatan berikutan hasratnya untuk melobi Tengku Razaleigh untuk menukar Amanah menjadi parti politik tidak mendapat sambutan.

Di dalam Ikatan, tidak ada nama lain yang dikenali selain Abdul Kadir seorang. Ikatan adalah Kadir dan Kadir adalah Ikatan.

Di kalangan adik-beradiknya pula, ramai yang berada dalam UMNO dengan dua daripadanya menjadi Ketua UMNO Bahagian iaitu Musa Sheikh Fadzir dan Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Jika benar Kadir seorang yang berpengaruh, kenapa adik-beradiknya tidak bersamanya dalam Ikatan?

Tidak seperti Amanah yang berpecah dengan Pas, tetapi mendapat rakan yang lebih mantap iaitu PKR dan DAP serta kemudian menubuhkan Pakatan Harapan, apa yang berlaku kepada Pas ini agak sedikit memalukan terhadap imejnya sebagai parti yang sudah dikenali ramai.

Apa yang boleh diharapkan oleh Pas daripada Ikatan yang kosong itu?

Dalam masa yang sama, daripada Hadi Awang terus-terusan mengungkapkan madah berhelahnya seperti "blok baharu ini memilih untuk membangkang secara nasihat serta menolak bangkangan melulu dan ekstrem seperti Pakatan Harapan" dan "waktu lawan kita lawan, tetapi waktu lain kita akan dekati kerajaan untuk nasihat supaya baiki kelemahan dan kesilapan," adalah lebih baik "menebalkan muka" dengan terus bergabung bersama UMNO dan menyertai BN.

Ke mana pun pusing dan kornernya blok baharu ini, percayalah matlamat akhirnya tetap kepada Najib dan UMNO juga. (SH 16/03/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...