TERKINI :

Friday, March 25, 2016

Pas-Ikatan: Tidak tinggalkan kudis pada Umno


Kerjasama blok politik ketiga dilihat tidak mengugat Umno parti tertua Melayu itu kerana kerjasama antara Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak mempunyai persamaan dalam perjuangan politik mereka, itu pandangan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, Umno tidak tergugat dengan kewujudan blok politik ketiga itu walaupun ia boleh memberi kesan kepada pecahnya undi Melayu.

“ Tidak tergugat dan tidak ada meninggalkan sedikit ‘kudis’ pun. Kita tahu pemimpin Ikatan bekas ahli Umno satu ketika dulu, kini bergabung dengan salah satu parti pembangkang mewujudkan blok politik baru untuk bersama menentang kerajaan yang ada hari ini,” ujarnya.

Beliau diajukan soalan daripada Malaysia Dateline ketika berjalan keluar dari Dewan Maeps Serdang, selepas hadir ke Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Umno Cawangan Selangor, baru-baru ini.

Diasak pertanyaan niat sebenar Pas bergabung dengan Ikatan, sama ada Pas tidak yakin pada Umno jika mahu bekerjasama dalam meletakkan calon pilihan raya kelak dalam menarik undi Melayu?

”Itu awak kena tanya Pas lah kenapa mereka pilih Ikatan, sebaliknya tidak mahu pula bersama Pakatan Harapan, ada juga Melayu pemimpin dan ahlinya.

“Kita (Umno-Pas) setakat hari ini hanya bekerjasama dalam perkara yang membabitkan kepentingan agama, bangsa dan negara,” ujar Menteri Pertahanan ini merujuk kerjasama Umno-Pas yang dipersetujui dua pemimpin utama parti itu sebelum ini.

Hishamuddin juga mempersoalkan tujuan Pas dan Ikatan dalam perjuangan parti masing-masing dalam mewujudkan blok politik ketiga itu.

“Pas dan Ikatan apa sebenarnya perjuangan mereka?

“Apa persamaan dalam perjuangan mereka?

“ Setakat nak duduk semeja tetapi asas perjuangan antara dua parti itu masih tidak jelas.

“ Orang di luar sana juga masih tertanya-tanya,” ujar Ahli Parlimen Sembrong ini.

Pada 16 Mac lalu, Pas mengesahkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai rakan komponen dalam pembentukan blok politik ketiga di negara ini, selain Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...