TERKINI :

Friday, March 18, 2016

PAS beri amaran kepada pihak guna hudud pecah belahkan PAS-IKATAN

KUALA LUMPUR, 17 Mac: PAS menyelar mana-mana pihak yang cuba menimbulkan ketegangan di antara PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dengan membangkitkan isu hudud.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, tindakan setengah pihak dan media yang mula menggerakkan saraf mereka untuk melagakan PAS dan IKATAN pada hari pertama gandingan mereka dimeteraikan dengan memainkan isu hudud, adalah sangat tidak bertanggungjawab malah disifatkan sebagai tindakan tidak celik politik matang.

“Hanya adu domba dan propaganda murahan yang suka mereka lakukan untuk melariskan media mereka, sedang tindakan itu hanyalah merosakan usaha baik yang mahu digerakkan oleh PAS – IKATAN dimata masyarakat awam yang banyak bergantung kepada laporan media.

“PAS melihat isu hudud yang dijadikan peluru sepanjang zaman untuk menyerang dan merosakkan reputasi PAS tidak akan berkesan untuk digunakan bagi memisahkan gandingan PAS – IKATAN yang baru sahaja memulakan kerjasama politiknya.

“PAS memperingatkan semua pihak khasnya ‘war lord’ yang berada dibelakang media tertentu agar tidak memecah belah dan melemparkan fitnah kepada PAS kononnya PAS kini meninggalkan prinsip perjuangan. Sebaliknya prinsip perjuangan PAS akan terus dijulang dan dihormati oleh semua rakan seperjuangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, PAS mengumumkan kerjasama politik dengan IKATAN sekaligus membentuk blok pembangkang yang baru.

Lantaran itu, ada yang mempersoalkan pendirian IKATAN terhadap rancangan PAS melaksanakan hudud memandangkan IKATAN merupakan sebuah parti berbilang kaum.

Menurut Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheik Fadzir, beliau menyerahkan kepada Parlimen dan rakyat untuk menentukan sama ada wajar ataupun tidak hudud dilaksanakan.

Sementara itu, dalam satu sidang media yang diadakan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini, mereka membidas sikap PAS yang ‘cakap tak serupa bikin’ apabila boleh membuat persetujuan bersama IKATAN untuk menangguhkan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pendirian Pas itu mencerminkan sikap sebenar parti Islam itu kerana tidak konsisten dengan perjuangan mereka.

“Sebenarnya tiada beza dengan kami dahulu semasa dalam Pas sebelum menjadi Amanah. Kami mengatakan kalau hendak melaksanakan hudud, peraturan dan Perlembagaan Persekutuan mesti dihalusi dan dipatuhi dahulu.

“Itu saja ingatan kami dari dahulu juga, tetapi pada masa itu kami dituduh menjadi penentang hudud, pengacau dan sebagainya. Perkara itu sama juga dengan DAP,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu hudud tidak akan menjadi isu besar di antara gabungan Pas-Ikatan dalam membentuk blok pembangkang ketiga itu.

Katanya, walaupun bergabung dengan Pas, mereka sependapat bahawa hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

Amanah merupakan parti serpihan PAS di mana parti itu ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP sehingga membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat.

Difahamkan, sehingga ke hari ini, PAS tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Amanah.–TMT

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...